Hujan tahi bintang yang melanda Russia semalam menyebabkan lebih 500
orang cedera, merosakkan bangunan dan memusnahkan rangkaian komunikasi
mudah alih.
Batu yang terbakar dapat dilihat dari jarak beberapa kilometer apabila
ia terhempas kira-kira jam 9.20 pagi waktu tempatan. Seorang saksi mengumpamakannya seperti satu babak dalam filem Armageddon.
Tahi bintang itu dipercayai terhempas dalam sebuah tasik berhampiran Chebarkul, sebuah bandar di wilayah Chelyabinsk. Bandar Chelyabinsk, 1,440 kilometer ke timur Moscow dan berhampiran sempadan Kazakhstan adalah yang paling teruk terjejas.
Lebih 500 orang mendapatkan rawatan perubatan selepas kejadian, termasuk 80 kanak-kanak sementara 112 dimasukkan ke hospital.
Sebahagian besar mangsa mengalami kecederaan di muka akibat terkena serpihan kaca.
Bagaimanapun, setakat ini tidak ada laporan mengenai kematian atau ada orang yang terkena serpihan tahi bintang itu.
Anggota tentera menemui tiga sisa tahi bintang berkenaan, dua di kawasan berhampiran Tasik Chebarkul, barat Chelvabinsk sementara yang ketiga dijumpai berhampiran bandar Zlatoust yang terletak 80 kilometer dari Chebarkul.
Satu daripada serpihan tahi bintang itu yang jatuh di Chebarkul menyebabkan lubang selebar enam diameter.
Menurut laporan yang tidak dapat disahkan dalam Russia Today, tahi bintang itu dipintas oleh pertahanan udara negara itu.
Akademi Sains Russia menganggarkan tahi bintang itu seberat 10 tan. Menurutnya, ia memasuki atmosfera bumi dengan kelajuan 54,000 kilometer sejam dan berkecai kira-kira 30 hingga 50 kilometer dari bumi.