POPULARITI ada habuan kepada pemiliknya. Baik atau buruk, populariti 
menjadikan seseorang artis itu berada di satu tempat istimewa berbanding
 artis yang kurang popular. Seperti yang berlaku kepada Aaron Aziz, 36, 
sejak memenangi hati rakyat Malaysia sehingga bergelar Artis Paling 
Popular 2011, apa sahaja cerita terbaharu dirinya akan mendapat 
perhatian ramai.
Isu artis luar yang dibangkit oleh Zed Zaidi, kini Presiden Persatuan
 Seniman Malaysia (Seniman) serta status permohonan Taraf Penduduk Tetap
 (PR) selama ini menjadi dua cerita yang saling berkait dengan Aaron. 
Namun, perkara itu barangkali bukanlah lagi satu beban yang merunsingkan
 buat Aaron. Persoalan tentang status PR Aaron yang selama ini 
dibangkitkan bukan lagi satu tanda tanya. 
Pertengahan minggu lepas, satu sumber Sensasi Bintang membongkar 
status permohonan PR oleh Aaron yang didakwa telah mendapat kelulusan 
Kementerian Dalam Negeri (KDN). Turut dilampirkan dalam e-mel tersebut 
ialah salinan kad MyPR milik isteri Aaron, Diyana Halik. Jumaat lalu, 
Sensasi Bintang berjaya menghubungi Aaron Aziz untuk mendapatkan 
pengesahan.
Bercakap kepada Sensasi Bintang, kata Aaron mengesahkan dia dan isterinya kini pemegang MyPR.
"Saya minta maaf kepada semua pihak kerana dari awal lagi tidak 
menghebahkan kelulusan permohonan PR saya kepada umum. Saya fikir, 
perkara itu tidak perlu dikecoh-kecohkan. Tetapi, apabila ada pihak yang
 tidak bertanggungjawab mengirimkan salinan dokumen sulit saya itu 
kepada umum, barulah saya rasa perkara itu perlu dijelaskan.
"Saya sudah memegang kad MyPR sejak awal Jun. Saya harap pengakuan 
saya ini akan menjelaskan segala persoalan semua pihak," akui Aaron 
setelah meneliti semula gambar kiriman e-mel sebelum memberikan 
keterangan lanjut.
Ditanya mengenai proses permohonan PR olehnya yang cepat mendapat 
kelulusan kerajaan Malaysia, Aaron menyerahkan perkara itu kepada pihak 
KDN untuk memberikan penjelasan.
"Saya tidak rasa cepat atau lambat kelulusan permohonan itu akan 
menjadi satu isu. Saya tiada hak untuk bercakap tentang rasional atau 
alasan bagaimana permohonan saya diluluskan. Mungkin saya telah menepati
 syarat yang ditetapkan," katanya.
Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz turut meluahkan rasa 
syukur kerana berbekalkan bakat seni yang dimiliki, dia kini boleh 
bekerja dan menjadi sebahagian daripada penduduk Malaysia. Dia berterima
 kasih kepada semua pihak atas rezeki dan penerimaan semua terhadap 
kehadirannya menjadi salah seorang pelakon di Malaysia.
Sebagai rekod, Aaron sebelum ini mendakwa Malaysia dekat di hatinya. 
Itulah antara sebab mengapa pelakon yang hangat menerusi filem KL 
Gangster itu memohon PR. Pelakon yang berasal dari Singapura itu memohon
 taraf penduduk tetap pada Ogos 2011.
Populariti serta aura Aaron semakin mendapat perhatian usai menjulang
 anugerah tertinggi dalam majlis Anugerah Bintang Popular 2011, April 
lalu, nama aktor sasa Aaron hangat dengan isu PR yang dipohonnya. Isu 
itu menjadi kecoh apabila kemenangan Aaron dipertikaikan Zed Zaidi yang 
ketika itu bercakap atas kerusi Timbalan Presiden Seniman itu meluahkan 
rasa kurang senangnya kerana pemenang anugerah berdasarkan populariti 
itu dimenangi pelakon warga Singapura.
Isu itu berlarutan sehingga memaksa Aaron bercakap soal status dan 
warganegara sehingga terkeluar berita bahawa permohonan PR olehnya sudah
 mendapat kelulusan dan sedang menunggu waktu untuk diambil daripada 
KDN. Namun, selepas berita itu disebarkan oleh portal Gua.com, Aaron 
dalam satu kenyataan menafikan pengakuannya tentang kelulusan status PR 
berkenaan.
"Sebelum ini orang pernah menyebarkan salinan kad pengenalan palsu 
saya. Kad itu yang sengaja dicipta untuk memburuk-burukkan saya. 
Sekarang salinan MyPR saya pula disebarkan. Saya rasa ini kerja orang 
dalam dan saya tidak tahu apa niatnya menjadi penyebar kepada dokumen 
sulit pihak lain," kata Aaron sedikit kesal tetapi berterima kasih 
kepada Kosmo!
Akhiri Aaron: "Saya juga mengucapkan terima kasih kepada anda dan 
Kosmo! disebabkan berusaha mendapatkan pengesahan daripada saya sendiri 
dan tidak menyiarkan gambar kiriman e-mel tersebut tanpa kebenaran 
daripada saya."








