Bagi para peminat novel tulisan Ahadiat Akashah, “Lagenda Budak Setan” pasti adalah satu tajuk yang sudah biasa anda dengar, kan? Jika pada tahun 2010, sebuah filem telah diadaptasi melalui novel pertama “Lagenda Budak Setan”, kini selepas 2 tahun, sekuel terbaru berjudul “Lagenda Budak Setan 2 – Katerina” pula bakal menemui anda di pawagam pada bulan November ini.
Dilancarkan 3 hari lepas (10 Oktober) di laman Youtube, filem sekuel ini mengisahkan tentang kehidupan Kasyah lakonan Farid Kamil selepas kematian Ayu pada episod sebelumnya. Kasyah bakal bertemu dengan Katerina lakonan Maya Karin, seorang gadis yang telah mencuri hati Kasyah.
Watak Katerina yang dipegang oleh Fazura dalam Lagenda Budak Setan telah digantikan oleh Maya Karin untuk sekuel terbaru, Lagenda Budak Setan 2. Farid Kamil masih memegang watak sebagai Kasyah, dan Bront Palare juga dimasukkan dalam sekuel ini untuk watak Hisham.
Ada yang tertanya-tanya, mengapakah Fazura digantikan dengan Maya Karin? Ada yang berpendapat, mereka sudah hilang minat untuk menonton Lagenda Budak Setan 2 kerana tiada kesinambungan untuk watak penting seperti Katerina. Kata mereka, nanti confuse.
Menurut sumber, Fazura tidak dapat memberikan komitmen untuk Lagenda Budak Setan 2 ekoran pertindihan kerja dengan tawaran yang lain. Jadi, produser terpaksa menggunakan Maya Karin untuk memegang watak Katerina. Menurutnya lagi, peminat harus faham bahawa Lagenda Budak Setan 1 telah menjalani rakaman kira-kira 2 tahun lepas.
Walaupun ada peminat yang kecewa, tapi kami rasa Maya Karin boleh memegang watak ini dengan jayanya. Pakej rupa & populariti Maya Karin tidak boleh dipandang enteng. Sudah tentu, produser filem telah mengambil kira pelbagai aspek sebelum mengambil Maya Karin sebagai Katerina.
Jujur kami katakan, dulu jika anda mahu rasa ‘feeling’ bercinta, anda boleh baca novel tulisan Ahadiat Akashah. Tapi sekarang, tunggu filem sahaja. Mari tonton trailer rasmi “Lagenda Budak Setan 2 – Katerina” berdurasi 3.27 minit selepas ini ya!