JOHOR BAHRU: Tertipu dengan dakyah karut bomoh yang kononnya boleh meramal kematian dan menebus dosa, seorang lelaki dan keluarganya membuat pinjaman bank untuk membayar wang pengeras sebanyak RM12,000.
Lebih mengaibkan, mangsa yang mahu dikenali sebagai Jamil, 25, berkata, ibarat dipukau, dia dan ibu bapa turut membenarkan adik perempuannya tinggal bersama bomoh itu selama seminggu.
Katanya, dia terpengaruh mendapat khidmat bomoh yang dikenali sebagai Ali, 40-an, selepas lelaki itu mengakui dirinya ustaz dan menjalankan rawatan secara tradisional mengikut cara Islam.
“Saya bersama ibu, ayah dan adik perempuan berusia 20 tahun berjumpa bomoh itu bagi merawat ibu yang menghidap penyakit lemah badan dan kemurungan,” katanya ketika ditemui.Dia berkata, bomoh itu mendakwa boleh mengubat secara ghaib, termasuk berhubung terus dengan Allah menerusi jin yang menurun dalam badan pembantu peribadinya. "Peringkat awal, dia memujuk kami menyerahkan RM 9,000 bertujuan menebus dosa syirik. Kami sekeluarga bagaikan dipulau dan menuruti kehendaknya. "Malah, bapa saya yang berusia 62 tahun membuat pinjaman bank kerana kami diberitahu jumlah bayaran bakal meningkat sekiranya lewat membuat bayaran," katanya yang tinggal di Tampoi.
Jamil berkata, sejak bertemu bomoh itu beberapa kali bermula Mac lalu, dia dan keluarganya kerugian RM12,000 berikutan terpaksa membayar wang pengeras. Selain itu, mereka pergi ke rumah bomoh terbabit dan beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini untuk berubat. "Selepas beberapa kali berubat dengannya, kami dapati Ali menyimpang daripada syariat Islam kerana dia mendakwa keluarga kami mengharungi pelbagai kesusahan kerana melakukan dosa syirik. Dia juga mendakwa boleh meramal kematian seseorang dan menyatakan hanya satu cara mengatasi masalah itu iaitu kami perlu menebus dosa dengan menyerahkan wang kepadanya untuk menjalankan kerja amal," katanya. Bagaimanapun, Jamil berkata, dia dan keluarganya seperti dipukau dan mengikut saja apa kata bomoh itu, termasuk menyerahkan wang dikehendalinya selepas membuat pinjaman bank.
"Ali kata kami buat syirik kerana bapa pernah menerima cincin batu daripada kenalannya, tetapi kami hairan kerana dia menyerahkan gelang tangan sebagai tangkal kepada ibu dan adik perempuan saya. "Selain itu, dia memaksa kami sekeluarga mandi bunga dan memakai sejenis minyak yang dikatakan boleh menghalau syaitan," katanya. Jamil berkat, bomoh itu bertindak lebih berani apabila mengunjungi rumahnya jam 4 pagi 10 Ogos lalu. Dia meminta untuk mengambil adik perempuan mangsa tinggal bersamanya dengan alasan dikejar syaitan. Malah, Ali kata jika adik saya tidak diserahkan kepada dirinya, adik akan meninggal dunia pada jam 8 pagi keesokan hari.
"Entah kenapa, saya, ibu dan bapa sekali lagi bagaikan dipukau dan mengikut saja permintaan Ali," katanya. Jamil berkata, mujur sehari sebelum 1 Syawal lalu, dia dan keluarga tersedar kesilapan mereka dan hasil bantuan polis, bomoh itu menyerahkan semulaadik perempuannya. "Kami sekeluarga serik ditipu dan saya berkongsi pengalaman ini dengan harapan orang ramai berhati-hati dengan helah Ali," katanya yang membuat laporan di Balai Polis sentral pada 10 Ogos lalu.