KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai perogol bersiri kini diburu polis selepas dua wanita membuat laporan mendakwa mereka dirogol dan disamun penjenayah terbabit yang menggunakan taktik menawar pekerjaan dengan gaji lumayan sehingga RM400 sehari sebelum merogol mangsa.
Lelaki terbabit dipercayai menggunakan modus operandi mengiklankan tawaran pekerjaan sebagai jurujual melalui beberapa laman web di Internet sebelum memujuk dan memperdaya mangsanya supaya hadir menjalani ‘temu duga’ di bilik hotel bajet di ibu negara.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, teruja dengan tawaran gaji lumayan, mangsa yang berhubung melalui e-mel dengan suspek hadir di sesi temu duga sebelum diperkosa dan barang berharga disamun.
Menurutnya, pihaknya menerima dua laporan setakat ini dan percaya kedua-dua kejadian jenayah itu dilakukan suspek sama kerana taktik digunakan sama.
“Kes pertama dilaporkan pada awal Ramadan lalu, dengan seorang wanita berusia awal 20-an mendakwa dirogol dan disamun seorang lelaki ketika menghadiri temu duga kerja di sebuah hotel bajet di ibu negara.