KUANTAN: “Hampir menitis air mata saya melihat mayat bayi tidak berdosa itu terperosok dalam lubang tandas, tapi demi tanggungjawab, saya dan tujuh rakan yang lain kuatkan juga semangat untuk menjalankan tugas.”
Demikian, kata seorang daripada anggota bomba ditugaskan mengeluarkan mayat bayi baru lahir yang tersumbat dalam lubang tandas Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini semalam.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Adli, 40-an, berkata, dia dan rakan-rakan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, mengambil masa lebih tiga jam untuk memecahkan tandas bagi mengeluarkan mayat bayi itu, bermula jam 8 pagi.
“Sebaik saja melihat separuh kepala bayi itu terperosok dalam lubang tandas, kami sedar tiada cara lain untuk mengeluarkannya kecuali memecahkan mangkuk tandas itu dengan berhati-hati kerana bimbang ia mencacatkan tubuh bayi berkenaan.
“Kami mengambil masa lebih tiga jam untuk memecahkan tandas itu perlahan-lahan. Kami bergilir-gilir melakukannya. Ketika itu juga hati saya bercampur baur antara sedih dan geram dengan manusia yang membuang bayi itu,” katanya.
Panik apabila bayi yang baru dilahirkannya jatuh menggelongsor ke dalam tandas, seorang remaja berusia 16 tahun mengepam tandas supaya bayinya hanyut dalam pembentung. Bagaimanapun, cubaan pelajar itu gagal kerana saluran tandas tersumbat menyebabkan dia tergesa-gesa meninggalkan tandas awam Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini,
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu ditemui seorang jururawat ketika mahu menggunakan tandas di Wad 2C hospital itu, jam 4.45 pagi semalam. Menurutnya, suspek yang tinggal di Sungai Isap Damai, di sini, pergi ke hospital berkenaan menemani ibunya yang menghidap barah di wad berdekatan sejak dua hari lalu.
"Siasatan mendapati suspek pergi ke tandas seorang diri untuk membuang air sebelum tiba-tiba melahirkan bayi. Sejurus dilahirkan, bayinya menggelongsor ke dalam mangkuk tandas dengan keadaan kepala terperosok manakala kakinya terjuntai.
"Panik melihat keadaan itu, suspek cuba mengepam bayinya, namun gagal kerana saluran tandas berkenaan tersumbat sebelum bergegas keluar, "katanya. Mohd Jasmani berkata, polis mendapatkan anggota Jabatan Bomba dan penyelamat untuk memecahkan mangkuk tandas itu bagi mengeluarkan mayat bayi berkenaan sebelum di bawa ke Jabatan Forensik untuk dibedah siasat. "suspek sudah ditahan dan diarah menjalani pemeriksaan perubatan dan doktor mengesahkan dia baru melahirkan anak," katanya.
Menurutnya, remaja itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.