LONDON: Penyanyi sensasi Korea Selatan, PSY menerima sijil Rekod
Dunia Guinness ketika ditemuramah di studio Radio 1 BBC di sini,
semalam.
PSY, yang terkenal dengan lagu Gangnam Style menerima sijil
berkenaan selepas mengalahkan LMFAO dan Justin Bieber untuk ‘Like’
paling banyak bagi video dalam YouTube. Video Gangnam Style mencatatkan
4,911,081 ‘Like’ sejak mula dimuatnaikkan pada 15 Julai lalu.
“Saya begitu teruja,” kata PSY yang nama sebenarnya Park Jae-sang selepas menerima sijil berkenaan. “Inilah sijil pertama saya. Saya tidak pernah menerima sijil di sekolah,” katanya.
Korea juga memberi Anugerah..
Korea Selatan memberi penganugerahan kepada penyanyi rap Psy kerana
kejayaannya menyebabkan gelombang “Gangnam Style” sehingga menjadi satu
fenomena seluruh dunia. Kementerian Kebudayaan Korea Selatan pada Selasa mengumumkan Psy atau
nama sebenarnya Park Jae-Sang akan menerima “Okgwan Order of Cultural
Merit” yang dianugerahkan kepada mereka yang berjasa dan cemerlang dalam
dunia seni.
“Psy telah dipilih untuk menjadi contoh kerana “Gangnam Style” yang
diilhamkannya telah berjaya meningkatkan daya minat dunia terhadap
Korea,” kata Kementerian Kebudayaan kepada AFP. Psy berjaya melonjakkan namanya ke arena antarabangsa sejak video
“Gangnam Style” yang menampilkan gaya tarian kuda menjadi ikutan
selepas dimuat naik menerusi laman YouTube. “Gangnam Style” yang dihasilkan sebagai sebuah penghargaan kepada
kejiranan kelas tinggi di Seoul telah ditonton lebih 654 juta pelayar
Internet menjadikan ia antara karya kedua yang cukup popular menerusi
YouTube selepas klip video “Baby” nyanyian Justin Bieber yang disaksikan
796 juta orang.
Lagu Psy itu telah menduduki carta dari Britain sehingga ke Australia
dan menduduki tempat kedua di US Billboard Hot 100 selama enam minggu
berturut-turut. Korea Selatan melihat budaya popular seperti itu menjadi kuasa
eksport yang tinggi selain mampu memberi pendedahan antarabangsa
terhadap sebuah negara yang merasai seperti terkebelakang berbanding
jirannya iaitu China dan Jepun. Kerajaan juga telah membelanjakan wang yang banyak terhadap program
televisyen Korea dan muzik pop yang melanda Asia sejak sekian lama.
Sementara itu pengarah filem Kim Ki-Duk yang menerima anugerah
“Golden Lion” sempena Festival Filem Venice tahun ini menerusi filemnya
berjudul “Pieta” akan menerima “Eungwan Order of Culture Merit” yang
mana ia adalah penghargaan yang lebih tinggi daripada anugerah diperoleh
Psy.