Aku nak kongsi cerita ataupun lebih tepat kisah benar yang diceritakan oleh seorang wartawan tentang "Nasib Malang Kucing Jalanan".
Saya (Hanaffi Ibrahim) berdiri di luar Pusat Kurungan Haiwan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Bunyi kucing mengiau-ngiau jelas kedengaran. Dari luar kurungan itu saya lihat setiap sangkar diletakkan dua hingga tiga ekor kucing-kucing jalanan yang telah ditangkap sekitar bandar raya Kuala Lumpur, seminggu lalu.
Saya lihat kucing-kucing jalanan itu meronta-ronta meminta dilepaskan. Ada yang menggigit besi, memanjat dan menguit-nguit kaki dan tangan seolah-olah minta dikasihani. Saya pandang ke arah seekor kucing yang berwarna kelabu yang asyik memerhatikan gerak-geri saya sedari tadi. Bulunya sungguh comel dan lembut.
Saya berasa hairan, kenapa orang sanggup membuang kucing yang comel dan jinak sebegini? Tidak berhati perutkah? Wajah-wajah kucing yang merenung tajam ke arah saya seolah-olah meminta belas kasihan untuk dibebaskan amat mengharukan. Pusat ini ibarat destinasi terakhir sang kucing jalanan ini...
Ya saya tidak sanggup memandang mata kucing yang bersinar jernih ini dan mengharapkan saya datang membelai, menepuk-nepuk dan mengusap-usap kepalanya. Sayang sungguh! sepatutnya kucing-kucing comel ini tidak seharusnya berada di dalam kurungan ini. Kehidupannya adalah bersama kita, manusia yang dianugerahkan akal fikiran. Kucing-kucing jalanan ini cuma ingin menumpang kehidupan kita. Saya tertanya-tanya apa kesalahan dan dosa kucing jalanan ini sehingga begitu banyak terpaksa ditangkap dan dikurung di sini?
Terdetik perasaan simpati mendalam dan kasihan dengan nasib-nasib kucing yang comel ini. Sungguh sadis, apakah dosa-dosa kucing-kucing liar ini sehinggakan ada orang sanggup membuang dan menghumbannya ke pasar-pasar, tepi jalan, longkang dan tempat-tempat sunyi lain tanpa simpati?
Sudahlah banyak bayi-bayi tidak berdosa dibuang, kini kucing pula menjadi mangsa! Aduh! Sedih! Sedih!. Bayangkan selepas dibuang, pada waktu malam di manakah kucing comel ini hendak mencari tempat perlindungan dalam kesejukan?. Kalau hujan, bagaimana? Tentulah basah kuyup! Tanpa sedar, air mata saya bergenang.
Ya saya sebak apabila memikirkan nasib kucing-kucing comel ini yang tidak dipedulikan orang lagi. Mahu tidak mahu, kucing-kucing jalanan ini terpaksa ditangkap dan dikurung supaya tidak mengotorkan tempat awam, menyelongkar tong sampah untuk mencari makanan dek kelaparan.
Maka tidak hairanlah ada diantara kucing-kucing liar ini yang dibawa ke dalam kurungan ini hidup penuh dengan kekotoran dikerumuni oleh lalat-lalat sehinggakan ada yang terkena penyakit kurap. Saya tertanya-tanya sendirian, di manakah nilai kemanusiaan kita ini yang hidup di rumah banglo serba mewah, kereta mewah dan dunia siber yang serba canggih ini? Kita sudah hilang kewarasan dan sifat berperikemanusiaankah?
Hampir sejam berlalu. Saya terus berdiri di luar kurungan memerhati nasib kucing-kucing comel ini dengan dada penuh sebak. Saya tertanya-tanyamasihkah ada sinar harapan untuk kucing-kucing jalanan ini?
Tengah hari itu, saya lihat beberapa orang pekerja India baru sahaja selesai mencuci najis setiap kurungan. Saya juga melihat bekas-bekas makanan sudah terisi untuk santapan kucing-kucing liar ini. Nah! Kini saya lihat kucing-kucing liar ini berebut melahap makanan. Dalam sekelip mata, kucing-kucing ini menghabiskan makanan yang diisi, Ya, kucing-kucing ini kelaparan! Selesai makan, saya lihat kucing-kucing jalanan ini menjilat bulu, kaki dan tangan merapi diri masing-masing.
Ya, kucing ini sihat sementara berada di sini. Tapi selepas ini apakah nasib kucing-kucing comel ini? Saya mendapat tahu pekerja-pekerja di situ memberi makanan kepada kucing-kucing jalanan ini sebanyak dua kali sehari, pagi dan petang. Setahu saya, kucing-kucing jalanan ini akan dikurung di situ hanya dalam tempoh seminggu sahaja. Dalam tempoh itu juga, pihak DBKL akan war-warkan kepada orang ramai yang berminat dlam web di Internet supaya datang membelinya di Pusat Kurungan Haiwan DBKL dengan harga RM15 seekor.
Saya diberitahu Chandarakant Pathi, Ketus Seksyen Kawalan Pest Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL, harga tersebut dianggap munasabah dan berpatutan bagi menampung kos makanan dan rawatan.
Pihak DBKL tidak mahu memberi kucing liar itu secara percuma kepada orang ramai bimbang ada pihak yang tidak menghargainya."Lagipun, kalau diberikan secara percuma mungkin orang akan melepaskan kucing itu bali!" jelas Chandarakant Pathi lagi.
Selepas seminggu, jika tiada sesiapa yang datang membeli, pihak DBKL akan melupuskan dengan cara menyuntik racun pentobarbital.
Saya tidak dapat bayangkan, apabila kucing-kucing comel ini tidak ada pembelinya dibawa ke katil PVC hitam. Seorang doktor haiwan tanpa berlengah memasukkan cecair pentobarbital ke dalam jarum suntikan.
"Sruuuuupppp..." jarum suntikan itu ditusuk ke bahagian kaki hadapan kucing itu. Seekor demi seekor kucing-kucing dikeluarkan dari sangkar dan disuntik. Gelagat riang dan lincah kucing-kucing sebelum ini mula menghilang. "Miowww..." itulah ngiauan terakhir seteal jarum ditusuk ke bahagian badan kucing comel itu. Ngiauan terakhir kucing comel itu seakan-akan mengucapkan selamat tinggal kepaa pekerja-pekerja di Pusat Kurungan Haiwan DBKL yang selama ini menjaga dan memberi makan secara percuma kepadanya.
Badan kucing-kucing yang telah disuntik cecair pentobarbital mula kelihatan lemah. Selang beberapa saat matanya yang dulunya bersinar kini semakin terpejam.. Gerak badan kucing comel itu sudah mula lemah dan tidak bergerak langsung. Nyawa kucing comel itu sudah berakhir. Kesan ubat yang ditusukkan ke dalam badannya sungguh kuat, dalam beberapa saat sahaja membawa maut.
Kini nasib kucing-kucing jalanan yang berada dalam kurungan di hadapan saya bakal mengalami nasib yang sama selepas seminggu berada di sini, jika tidak di beli orang.
Jasad kucing-kucing jalanan ini akan ditanam di suatu kawasan yang dikhaskan berhampiran pusat kurungan berkenaan. Begitulah nasib si kucing jalanan...
Sedih sungguh bila memikirkan kucing-kucing ini terpaksa disuntik dan dibunuh disebabkan tiada sesiapa hendak membeli dan membelanya. Tambah sedih...mengapa bangsa kita yang terknal dengan sifat pemurah dan penyayang tidak lagi sayang kepada kecing, banatang yang menjadi kesayangan Nabi Muhammad S.A.W. Ayuh... di manakah semangat pencinta haiwan, pembela binatang dan orang yang kononnya sayangkan kucing?.Kemanakah perginya orang-orang kita yang dikenali ramai dengan sifat yang baik hati, penyaynag dan pemurah yang selalu diwar-warkan selama ini? .Mana Datuk, Tan Sri, VVIP atau Yang Berhormat yang suka menderma dan gambar terpampang di dada-dada akhbar. Kenapa tiada sesiapa yang sudi menyelamatkan kucing-kucing jalanan ini?
Kalau betul sayangkan kucing, marilah beramai-ramai datang beli kucing-kucing jalanan ini. Mungkin juga ada orang kaya, jutawan, VVIP, Datuk, Tan Sri atau dermawan yang bersifat pemurah sanggup membina "Laman Kucing ataupun pusat penjagaan kucing-kucing jalanan di luar sana. Opps! terlupa! jika DBKL boleh bina taman burung, taman rama-rama dan bermacam-macam jenis taman lagi apa salahnya wujudkan pula taman-taman kucing. Hah! Molek sungguh, kalau sebuah taman kucing diwujudkan di negara kita. Saya rasa tentu ramai yang berminat untuk melihat dan menatap pelbagai jenis kucing yang dilepas bebas menempatkan segala spesis kucing di seluruh dunia termasuk kucing-kucing jalanan yang menanti maut tadi.
Aku setuju sangat dengan cadangan penulis ini. Marilah bersama-sama kita selamatkan kucing binatang kesayangan Nabi Muhammad S.A.W.