PETALING JAYA: Selepas berbulan berdiam diri, akhirnya suami Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin tampil menjelaskan mengenai desas-desus kononnya dia berkahwin dua dan menafikan segala cerita itu. “Demi Allah, isteri saya hanya Erra seorang. Kalau betul saya kahwin lagi, mestilah sekarang sudah ada gambar-gambar upacara itu dikeluarkan di Internet.
“Saya pernah dengar pasal gosip ini sejak tahun lalu, tetapi saya anggap ia tidak serius dan sebahagian mainan dunia hiburan.
“Tetapi lama-kelamaan ia semakin besar dan saya ingin jelaskan yang gosip saya menduakan Erra sama sekali tidak betul. Yang penting Erra, keluarga saya, keluarga mentua tahu perkara sebenar.
“Dan untuk pengetahuan semua, saya dan Erra masih tinggal sebumbung dan tidur sekatil,” kata Emran. Menurut Emran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MalaysianDigest.Com selama ini bukan beliau melarikan diri daripada media, malah beliau mempunyai ruang untuk menjelaskan gosip itu menerusi akaun twitter dan blognya. Bagaimanapun, beliau tidak berbuat begitu kerana tidak mahu melayan gosip berkenaan.
"Tetapi saya perlu jelaskan sekarang sebab saya juga kasihankan Erra yang terpaksa berhadapan dengan pihak media saban minggu dan diajukan soalan mengenai rumah tangga," katanya. Dalam pada itu , Emran percaya ada pihak yang mahu memisahkan mereka berdua tetapi, katanya, beliau sedia maafkan. Saya maafkan dia tetapi harap dia meminta maaf dengan Allah atas apa yang dilakukannya," katanya.
Engku Emran dan Erra Fazira bernikah pada 10.10.2007 dan dikurniakan seorang anak, Engku Eleesya, 3.