SANDAKAN: Rasa curiga pengguna jalan raya terhadap sebuah lori pasir yang terbiar di bahu jalan dalam keadaan terjungkit membawa kepada penemuan mengejutkan apabila menemui mayat seorang lelaki terperosok di bawah satu daripada tayar belakang jentera berat itu.
Kejadian berlaku di Jalan Labuk Lama, Batu 8, di sini dan ketika mayat penunggang motosikal yang masih memakai topi keledar itu ditemui jam 5.30 petang kelmarin, pemandu lori terbabit sudah menghilangkan diri.
Kejadian berlaku di Jalan Labuk Lama, Batu 8, di sini dan ketika mayat penunggang motosikal yang masih memakai topi keledar itu ditemui jam 5.30 petang kelmarin, pemandu lori terbabit sudah menghilangkan diri.
Mangsa dikenali sebagai Suhar Sirini, 23, mati di tempat kejadian akibat parah apabila keseluruhan tubuhnya dilenyek lori terbabit. Kemalangan ngeri itu berlaku ketika lori terbabit mahu membelok ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang terletak berhampiran tempat kejadian lalu terlanggar mangsa yang menunggang motosikal di sebelah kiri kenderaan itu.
Ketua Zon Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Alias Abu berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dan mendapati mayat seorang penunggang motosikal berada di bawah lori yang tiada pemandu. "Mangsa dipercayai menunggang motosikal di sebelah lori berkenaan menuju arah sama untuk memasuki ke simpang Puspakom. "Pemandu lori dipercayai tidak menyedari kehadiran motosikal berkenaan dan gagal mengelak menyebabkan mangsa digilis sehingga terperosok di bawah tayar lori, "katanya. Alias berkata, lokasi kemalangan bukan laluan utama menyebabkan orang ramai tidak menyedari kemalangan itu. "Ketika anggota bomba tiba, pemandu lori sudah menghilangkan diri dan mayat mangsa dibiarkan terperosok di bawah satu daripada tayar lori sehingga disedari orang ramai yang melalui jalan ini," katanya.
Menurutnya, bomba mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mayat mangsa. Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Fadzli Mohd. Ali, ketika dihubungi berkata mayat dihantar ke Hospital Duchees of Kent (HDOK) untuk bedah siasat. "Pemandu lori terbabit tidak cedera dan sudah membuat laporan kemalangan itu. kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta PengangkutanJalan 1987," katanya.