KOTA SAMARAHAN: Seorang bayi lelaki berusia enam bulan memeranjatkan orang ramai apabila hanya luka ringan walaupun tercampak keluar dari kereta Perodua Kancil yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di satu persimpangan berhampiran Desa Ilmu di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, ‘bayi ajaib’ itu menangis di atas jalan raya sebelum dibantu orang ramai dan segera dihantar ke klinik kesihatan berhampiran manakala bapanya tidak sedarkan diri akibat kemalangan itu.
Difahamkan, bayi berkenaan dipangku bapanya yang duduk di bahagian penumpang hadapan Perodua Kancil itu, tercampak keluar melalui tingkap yang terbuka ketika kenderaan dinaiki enam penumpang itu berpusing selepas dirempuh sebuah kereta.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dipandu laju, gagal berhenti untuk mengelak kereta yang dinaiki mangsa yang membuat pusingan U dari Kota Samarahan menuju ke Desa Ilmu.
Menurut sumber, perlanggaran kuat itu menyebabkan kereta Kancil berpusing dan bayi berkenaan tercampak keluar. "Orang ramai yang menyaksikan kejadian berlari ke arah bayi itu untuk menyelamatkannya daripada dilanggar kenderaan lain yang melalui jalan itu sebelum menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan Kota Samarahan unutk pemeriksaan. "Bapa mangsa yang tidak sedarkan diri, dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut, "katanya.
Pemandu Perodua Kancil dan empat penumpang lain berusia lingkungan 30-an, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun serta pemandu Proton Iswara itu tidak mengalami sebarang kecerderaan. Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan punca kemalangan masih dalam siasatan. Bayi lelaki itu dihantar ke HUS kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan dipindahkan ke wad.
allah hu akbar..kehendak Allah, siapa boleh menghalangkan?
betul..bayi masih suci dari buat dosa..