PASIR GUDANG: Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan, patah tangan dan kaki kiri hingga terpaksa ditahan di wad kanak-kanak Hospital Sultan Ismail (HSI), dipercayai didera pengasuh di sebuah rumah di Taman Bukit Dahlia di sini, Jumaat lalu.
Kecederaan mangsa, Muhammad Zafran Anaqi Muhammad Razali atau Zafran dikesan bapanya, Muhammad Razali Hamzah, 32, ketika membawanya keluar dari rumah pengasuh yang juga jirannya kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Kecederaan mangsa, Muhammad Zafran Anaqi Muhammad Razali atau Zafran dikesan bapanya, Muhammad Razali Hamzah, 32, ketika membawanya keluar dari rumah pengasuh yang juga jirannya kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Muhammad Razali yang juga warden Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Johor Bahru berkata, dia bersama isteri, Salmah Aya, 31, seorang guru, pada mulanya cuba memujuk Zafran selepas bayinya itu tidak berhenti menangis selama hampir sejam. "Bimbang dengan keadaan Zafran, kami bergegas ke sebuah klinik swasta di kawasan berhampiran. "Doktor yang menjalankan pemeriksaan menasihati kami supaya membawanya ke hospital berhampiran, kerana tidak mampu mengenal pasti masalah dihadapi Zafran, "katanya.
Menurutnya, sebaik mendengar arahan itu dia bergegas ke HSI sebelum pemeriksaan mengesahkan tangan dan kaki kiri anaknya itu patah. Katanya, berikutan itu, dia membuat laporan di Balai Polis Pasir Gudang, kelmarin kerana menyesyaki Zafran didera pegasuh berkenaan. "Saya pelik dengan sikap pengasuh itu. Sekiranya anak saya menangis tanpa henti, dia sepatutnya memaklumkan kepada kami, namun dia hanya mendiamkan diri. "Saya dan isteri tidak faham apalah dosa Zafran hingga dia menjadi mangsa dera, "katanya.
Menurunya, dia dan isteri berharap polis menjalankan siasatan terhadap pengasuh berkenaan dan mengambil tindakan sesuai bagi mengelak perkara sama berulang pada masa depan. "Hanya mereka yang pernah berdepan situasi sama akan faham betapa sedihnya kami melihat anak terlantar di hospital seperti ini, "katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.
Menurutnya, pihaknya belum mengenal pasti punca kecederaan bayi itu dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh untuk keadilan semua pihak