KUANTAN: “Saya tidak akan memaafkannya dan tidak sesekali menerimanya semula,” kata Norhidayah Ahmad, 22, ibu kepada bayi berusia lapan bulan yang disahkan doktor pecah usus dipercayai akibat didera teman lelaki ibu kandungnya itu.
Norhidayah yang juga ibu tunggal berkata, dia tidak menyangka teman lelakinya berusia 19 tahun itu sanggup mendera Mohamad Adam Mikhail Abdullah kerana kekasihnya itu sangat menyayangi anaknya.
“Selepas apa yang berlaku, dia tidak boleh terlepas daripada perbuatannya.
Saya mahu dia rasa azab yang Adam rasa,” katanya yang ditemui di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam.
Norhidayah berkata, dia hanya menyedari ada sesuatu yang tidak kena terhadap Adam apabila anaknya itu kelihatan tidak bermaya dan muntah-muntah ketika dia pulang dari tempat kerja, awal pagi kelmarin.
Sebelum itu, Norhidayah meninggalkan Adam kepada suspek ketika keluar bekerja di tapak ekspo di hadapan Terminal Makmur, di sini, jam 8 malam Isnin lalu dan pulang semula ke bilik sewa pada jam 3 pagi kelmarin. Melihat Adam tidak bermaya dan muntah-muntah, saya bertanya kepadanya (suspek) apa yang berlaku terhadap anak saya itu, namun teman lelaki saya hanya menjawab tidak tahu, malah dia menyalahkan saya kerana memberi Adam makan kerang beberapa jam sebelum keluar bekerja," katanya. Norhidayah berkata, dia mula curiga apabila melihat beberapa kesan lebam di belakang badan, manakala kepala anaknya pula terasa lembik.
"Melihat keadaan Adam semakin lemah dan mukanya bertambah pucat, saya membawanya ke HTAA jam 11 pagi (kelmarin). Doktor memaklumkan keadaan Adam tenat dan perlu menjalani pemeriksaan rapi. Selepas diperiksa, saya terkejut apabila doktor memberitahu usus anaknya pecah akibat hentakan kuat dan peluang untuk hidup hanya 50-50,"katanya. Menurutnya, doktor memintanya bersabar dan banyak berdoa semoga Adam boleh diselamatkan.
"Hanya tuhan saja yang tahu perasaan saya apabila melihat keadaannya terlantar dengan wayar berselirat di badan,"katanya yang membuat laporan kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, jam 10 malam kelmarin. Norhidayah berkata, dia pernah beberapa kali meninggalkan Adam yang juga anak keduanya itu dijaga suspek, namun tidak ada kejadian buruk berlaku, sebab itu dia tidak menyangka lelaki terbabit sanggup mendera anaknya sehingga dimasukkan ke ICU.
Setakat jam 3 petang semalam, Adam masih koma selepas menjalani pembedahan untuk membuang darah beku di kepalanya, awal pagi semalam.