KOTA BHARU: “Anak saya tidak takut menjalani pembedahan, sebaliknya teruja dan asyik memberitahu selepas pembedahan nanti, orang lain tidak takut melihatnya dan boleh menjalani kehidupan seperti rakan seusianya,” kata Shamsiah Yatim, 57, ibu kepada Mohd Izanuddin Hisham Muhamad, 24, atau lebih dikenali sebagai Hisham yang selamat menjalani pembedahan tempurung kepala, di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, semalam.
Menurut Shamsiah, anaknya mula dibedah pada jam 10 pagi dan keluar dari bilik bedah pada jam 12.30 tengah hari. “Ketika menunggu Hisham dibedah, saya berdebar juga. Saya tidak jemu berdoa dan akhirnya selepas melihat dia keluar dari bilik bedah, saya lega.
“Saya juga gembira apabila anak saya cepat sedar, namun belum boleh bercakap,” katanya ketika ditemui di HUSM bersama suaminya, Muhamad Mohd Noor, 52. Harian Metro semalam melaporkan, Hisham yang kehilangan separuh tempurung kepalanya akhirnya berpeluang menjalani kehidupan seperti manusia normal selepas seorang lelaki yang hanya memperkenalkan diri sebagai hamba Allah bermurah hati membiayai pembelian tempurung kepala tiruan yang ditempah khas di Singapura berharga RM8,500 untuk dicantumkan dengan tempurung kepala asal Hisham. Kisah Hisham yang disiarkan harian Metro pada 7 April lalu, mendapat perhatian hamba Allah itu yang menghubungi keluarga Hisham untuk menghulurkan bantuan.
Shamsiah berkata, dia sekali lagi berterima kasih kepada hamba Allah yang membantu anaknya dan Harian Metro yang menyiarkankisah anaknya sehingga menerima bantuan. "Insyaallah, selepas ini saya sekeluarga akan mengadakan kenduri kesyukuran. Saya harap selepas ini Hisham akan menjalani kehidupan seperti rakan seusianya dan diharap jenakanya yang mahu berumah tangga selepas pembedahan ini menjadi kenyataan. "Sya sebagai ibu memang mahu melihat dia berumah tangga, "katanya.
Sementara itu, pengarah HUSM, Datuk Dr Zaidon Kamari berkata, pembedahan tempurung kepala Hisham dilakukan sepasukan pakar neurologi HUSM dan mengambil masa kira-kira dua jam setengah. "Pasukan pakar neurologi itu memasang tempurung kepala tiruan "Titanium Mesh Plate" untuk menggantikan tempurung kepala tiruan lama daripada silikon. "Ini adlah pembedahan kali keempat untuk memastikan tempurung kepala Hisham sempurna seperti manusia normal," katanya.
Menurutnya, walaupun Hisham sudah sedar, dia tetap dipantau pasukan pakar neurologi HUSM sebelum dibenarkan pulang beberapa hari lagi jika tiada sebarang masalah.