SELESAI sudah kontroversi Neelofa dan Anzalna yang sudah pun
berdamai, baru-baru ini. Baguslah sebab SS pun suka. SS harap semuanya
dah kembali OK dan jadikan semua itu sebagai satu pengajaran.
Ketika ini juga SS lihat masing-masing ligat meneruskan perjuangan
dan tugas dalam bidang seni. Elok sangatlah tu kerana perkembangan
kerjaya yang lebih memberikan makna.
Terbaru yang sampai ke telinga SS, Neelofa mendapat tawaran untuk
menjadi penyanyi pula. Amboi, tak sangka SS Neelofa minat menyanyi dan
boleh menyanyi rupanya. Kalau tidak takkanlah label muzik itu sanggup
melamar Neelofa.
Kata sumber daripada pihak terbabit kepada rakan SS, Neelofa sudah pun bersetuju menerima tawaran menarik daripada syarikat itu. Uji bakat untuk Neelofa sudah pun dibuat dan pihak berkenaan suka dengan suaranya.
Namun kata rakan SS tadi, Neelofa buat masa ini akan menyertai kelas vokal dulu sebagai persiapan untuk memantapkan bakatnya itu. Dengan siapa Neelofa nak berguru? Cikgu Syafi ke Cikgu Siti Hajar?
Apapun SS harap Neelofa buatlah bersungguh-sungguh apabila orang sudah beri kepercayaan. SS sebenarnya lebih suka berfikiran positif apabila mendengar khabar angin seperti ini. Dengan erti lain, SS tak mahu bersikap skeptikal.
Mana tahu suara Neelofa tiba-tiba macam Misha Omar ke atau Siti Sarah ke... masa tu barulah orang berebut-rebut nak kejar Neelofa untuk bagi ‘show’!
Setakat yang SS dengar, Neelofa akan buat ‘single’ terlebih dulu. Sesuai sangatlah tu sebab memang begitu pun konsep penyanyi sekarang. Artis terkenal pun tak berani buat album penuh inikah pula penyanyi baru macam Neelofa.
Dalam pada itu SS nak ucapkan tahniah kepada Ratu Cantik Malaysia, Soo Wincci yang baru muncul dengan album mini dengan empat lagu terbitan Ajai. Khabarnya, boleh tahan juga vokal Soo Wincci. Lagu yang menarik dalam album mini itu adalah Terus Teranglah dan Musim Asmara. Nampak gaya makin popular Soo Wincci atau makin terkenal dengan gelaran Ratu Dapur!