KUALA LUMPUR: “Anak saya masih trauma sehingga tidak boleh tidur, manakala saya dan isteri tidur dalam kereta setiap malam, sejak kejadian” kata Hasrin Abdullah mengenai kes pecah masuk rumahnya dan cubaan merogol anaknya seminggu lalu.
Hasrin berkata, ketika kejadian jam 3.50 pagi pada 4 Julai lalu, dia bersama isteri dan anaknya nyenyak tidur sebelum dikejutkan jeritan anak perempuan berusia 17 tahun dari biliknya.
Dia tambah terkejut melihat leher anaknya berlumuran darah akibat dikelar perompak menggunakan pisau pemotong buah. Kejadian itu berlaku tiga hari selepas keluarganya berpindah ke rumah baru di Blok A, Pangsapuri Kos Rendah, Pandan Perdana, di sini.
Katanya, dia marah terhadap penjenayah itu bukan kerana barang peribadi dicuri, tetapi kerana anak perempuannya dicederakan dan nyaris menjadi mangsa rogol. Akibat kecederaan itu, anaknya menerima lapan jahitan dan tinggal di kampung selepas trauma. "Pada malam itu, saya tidur jam 1.15 pagi dan berasa sangat letih selepas bekerja. Saya sempat bersembang dengan anak sebelum masuk tidur. Ketika kejadian hujan lebat dan saya tersedar semula selepas mendengar jeritannya, katanya.
Menurutnya, dia sekeluarga baru berpindah ke kawasan itu dari Ampang dan tidak menyangka kejadian pecah masuk berulang kali kedua pada 9 Julai lalu. Namun percubaan kedua perompak untuk masuk gagal kerana tidak berjaya membuka pintu besi.