DENVER: Pemuda yang melepaskan tembakan rambang terhadap penonton di sebuah pawagam ketika tayangan filem Batman, ‘The Dark Knight Rises’ di sini kelmarin, mendakwa kepada polis bahawa dialah ‘Joker,’ musuh Batman.
DUA lelaki memakai kostum Batman dan Bane, dua karektor utama filem ‘The
Dark Knight Rises’ berjalan
di pawagam Champs-Elysees di Paris, semalam. Bagaimanapun, tayangan
perdana filem itu di panggung berkenaan dibatalkan berikutan kejadian di
Colorado, Amerika Syarikat. Gambar kecil, Holmes.
James Holmes, 24, memberitahu demikian ketika disoalsiasat.
“Dia berkata ‘Sayalah Joker’ kepada penyiasat,” kata pegawai kanan polis New York, Ray Kelly seperti yang dipetik oleh stesen televisyen ABC. Holmes bukan setakat mengaku demikian tetapi turut bersolek seperti musuh utama Batman itu.
Rambutnya diwarnakan merah seperti penampilan Joker. Polis juga mendedahkan Holmes yang dituduh membunuh 12 orang dan mencederakan 58 yang lain, mengikuti kursus sains neuro di Universiti Colarado tetapi berhenti daripada program PhD kira-kira setahun lalu.
Lebih mengejutkan lagi, lelaki yang dikatakan suka menyendiri itu dilapor sudah mempersiapkan diri sejak dua bulan lalu untuk melancarkan keganasan.
Senjata yang dimiliki Holmes ketika melakukan serangan termasuk 3,000 peluru, raifal A-15 bersama-sama dengan 100 magazin peluru yang boleh melepaskan 60 pusingan tembakan seminit.
Dia dilapor membeli senjata berkenaan menerusi Internet tanpa sebarang pemeriksaan untuk memastikan dia tidak berniat jahat.
Rancangan penuh Holmes itu didedahkan oleh Ketua Polis Aurora, Dan Oates, pada sidang akhbar yang menyaksikan dia hampir menangis dan berikrar memastikan Holmes di penjara kerana perbuatannya itu.
Menurut Oates, Holmes mengumpul senjata itu selama 60 hari sebelum melakukan pembunuhan itu.
“Dia membeli empat senjata di sebuah kedai senjata tempatan dan menerusi Internet, dia membeli 6,000 peluru, lebih 3,000 untuk raifal, 3,000 lagi untuk pistol glock, 300 lagi untuk senapang patahnya.
“Apa yang saya difahamkan, semua senjata itu dimilikinya secara sah,” kata Oates
Holmes melakukan keganasan itu di pawagam Century 16, Aurora ketika 'The Dark Knight Rises' baru bermula kira-kira 15 minit.
Dia kini ditahan di Penjara Arapahoe County dan akan dihadapkan ke Mahkamah Daerah Arapahoe esok.
Seorang pelajar yang menetap di kawasan kediaman Universiti Colarado, berhampiran rumah Holmes berkata: “Tidak ada orang mengenalinya. Tidak ada.”
Dia memasang dengan kuat lagu tehcno dari stereonya beberapa jam sebelum pembunuhan itu dan membiarkan muzik itu berulang-ulang ketika meninggalkan apartmennya untuk melakukan pembunuhan.