KUALA LUMPUR: “Saya sangat bersyukur kerana ketika kejadian, anak-anak tidak diapa-apakan, malah mereka langsung tidak menyedari rumah kami sebenarnya sedang dirompak menyebabkan kehilangan barang kemas milik anak dianggarkan bernilai RM1,500,” kata pengacara dan pelakon, Sharifah Shahira Syed Abu Bakar, 38.
TERKEJUT...Ijoi dan isterinya tiada
di rumah ketika kejadian.
Ketika kejadian malam kelmarin itu, semua anaknya, Allisya, 14, Airell, 8, Airra, 5, serta Auddra, 3, berada bersama pembantu rumah dan langsung tidak menyedari rumah mereka di Taman Melawati, dekat sini, dipecah masuk manakala Shahira berada di Miri, Sarawak dan suaminya, Ijoy Azhari, menghadiri majlis perkahwinan rakan.
Shahira yang pulang bersama Ijoy jam 2.30 pagi semalam, mengesyaki ada sesuatu tidak kena selepas pintu bilik tidur gagal dibuka sedangkan ia tidak berkunci sebelumnya.
Menurutnya, suaminya keluar semula dan memanjat balkoni dari luar untuk masuk ke dalam bilik sebelum terkejut mendapati pintu terkopak dan baru menyedari kediaman mereka dipecah masuk. "Sebaik membuka pintu bilik tidur, kami membuat pemeriksaan dan mendapati barang kemas milik anak dan barang kemas yang dihadiahkan rakan ketika majlis cukur jambul sebelum ini, lesap, "katanya. Menurut Shahira, dia serta suami memeriksa rakaman litar kamera tertutup (CCTV) dan mendapati kelibat seseorang memanjat balkoni rumahnya sebelum melarikan barangan kemas terbabit. "Malah, suspek turut membawa lari barangan kemas palsu yang digunakan untuk penggambaran ketika berlakon.
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana ketika kejadian semua anak yang ketika itu menonton televisyen di tingkat bawah, tidak diapa-apakan. "Anak juga pada mulanya menyangka bapa mereka berada dalam bilik apabila mendapati pintu bilik tidur berkunci lalu mereka masuk ke bilik tidur masing-masing untuk tidur. "Ketika kejadian saya berada di Miri dan suami yang menghadiri majlis perkahwinan rakan, menjemput saya di lapangan terbang. Kami pulang bersama dan sampai jam 2.30 pagi tadi (semalam), "katanya.
Menurutnya, selepas ini dia akan meningkatkan tahap keselamatan kediaman rumah bagi mengelak kejadian itu berulang. "Saya dimaklumkan sebuah Perodua Myvi menunggu di luar rumah dipercayai rakan suspek dan mereka dipercayai orang sama yang memecah masuk rumah lain di sekitar kawasan ini. "Polis juga bertindak pantas datang ke rumah saya membuat pemeriksaan selepas kami membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati," katanya. Semetara itu, Ketua polis Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata hasil rakaman CCTV pihaknya nampak seorang warga tempatan memecah masuk rumah teres dua tingkat milik pasangan terbabit.
"Suspek masuk melaui balkoni rumah sebelum masuk ke bilik tidur utama jam 10.40 malam berdasarkan kesan umpil pada pintu. Menurutnya, pihaknya menemui tujuh cap jari dan ketika kejadian, hanya anak mangsa dan dua pembantu rumah berada dalam rumah. Siasatan lanjut dijalankan dan usaha memburu suspek giat dijalankan. Susupek melarikan barangan kemas dan mata wang asing dianggarkan RM 1,500,' katanya.