BUKIT MERTAJAM: “Saya berasa pelik dan curiga apabila mereka semua berkurung dalam bilik itu sejak jam 2 pagi (kelmarin) tanpa makan, minum dan tidak buka (pasang) penyaman udara.
“Kami semakin hairan apabila suami saya dihalau dan dituduh sebagai hantu ketika cuba masuk ke bilik itu awal malam tadi (kelmarin),” kata ibu saudara kepada seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dipercayai akibat ditindih beramai-ramai.
“Kami semakin hairan apabila suami saya dihalau dan dituduh sebagai hantu ketika cuba masuk ke bilik itu awal malam tadi (kelmarin),” kata ibu saudara kepada seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dipercayai akibat ditindih beramai-ramai.
Dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Bukit Minyak Indah, di sini, kanak-kanak perempuan berusia dua setengah tahun itu, Chuah Wan Xuan dipercayai mengalami sesak nafas apabila ditindih tujuh ahli keluarganya iaitu ibu, bapa, nenek, ibu dan bapa saudara, dua sepupu serta seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Mereka disyaki bertindak demikian ketika menyertai satu ritual atau upacara dalam sebuah bilik di rumah berkenaan yang dipercayai bertujuan menghalau hantu.
Menurut ibu saudara mangsa yang tidak mahu dikenali itu, sudah menjadi kebiasaan dia dan suami pergi ke rumah adik iparnya itu setiap petang untuk makan malam bersama. Katanya, tambahan pula ibu mertuanya turut tinggal di rumah adik iparnya itu sejak bapa mertuanya meniggal dunia kira-kira tiga minggu lalu. "Ketika kami tiba di rumah itu jam 7:30 malam, keadaan gelap dan pintu utama tidak berkunci.
Saya takut, hanya suami yang masuk sebelum mendapati ahli keluarganya berada dalam bilik utama di tingkat atas rumah terbabit dan dia cuba ketuk pintu beberapa kali apabila didapati berkunci dari dalam, tetapi dihalau.
Walaupun berasa pelik, tetapi kami tidak mahu mengganggu mereka sebelum keluar membeli makanan, katanya. Menurutnya, mereka kembali semula ke rumah itu tidak lama kemudian dan sekali lagi tidak dibenarkan masuk ke bilik terbabit. Katanya, curiga sesuatu perkara buruk berlaku menyebabkan suaminya membuat laporan polis kira-kira jam 10 malam.
Sepasukan anggota polis yang menerima maklumat mengenainya bergegas ke rumah terbabit bagi menjalankan pemeriksaan lanjut. Anggota polis terpaksa memecah masuk bilik berkenaan selepas mereka tidak memberi kerjasama. Apabila pintu bilik berjaya dibuka, didapati kelapan-lapan suspek berkenaan sedang menindih mangsa termasuk ibu kandungnya yang hamil kira-kira tiga bulan.
Difahamkan, bapa mangsa berusia antara 20-an dan 30-an itu seorang jurutera di sebuah syarikat elektronik di Kulim, Kedah. Sementara itu, jiran keluarga terbabit mendakwa beberapa penduduk di situ di marahi dua ahli keluarga terbabit pagi kelmarin. Menurutnya, ketika itu dua ahli keluarga berkenaan sedang membakar kertas warna merah di hadapan rumah mereka. Katanya, kebetulan cuti hujung minggu menyebabkan ramai jiran ada di rumah dan melihat tindakan mereka itu.
''Tetapi, kami semua ditengking mereka supaya jangan ambil tahu apa yang dilakukan ketika itu menyebabkan jiran tidak mempedulikan tindakannya, "katanya. Menurutnya, keluarga berkenaan memang kurang mesra dan jarang bercakap dengan jiran.