Selepas enam tahun beraya tanpa wanita bergelar
isteri, kini Yusry Abdul Halim, 39 kembali meniti bahagia bersama insan
yang dicintainya, Lisa Surihani Mohamed, 26. Ternyata pasangan romantik
ini begitu teruja meraikan hari lebaran bersama.
Kebahagiaan
jelas terpancar di wajah kedua-duanya apabila berbicara mengenai
sambutan Aidilfitri pertama mereka selepas disatukan. Lebih istimewa,
pasangan sama cantik dan sama padan ini bakal menyambut bulan mulia di
kediaman baru mereka yang terletak di Kajang Country Height.
“Saya
bersyukur dan gembira dengan apa yang dimiliki hari ini. Kehadiran Lisa
amat bermakna dalam hidup saya. Dia wanita yang amat istimewa,
bersamanya saya rasa bahagia.
“Alhamdulillah,
sepanjang enam bulan berkahwin kami tidak pernah bergaduh. Kami dapat
menyesuaikan diri dengan begitu baik. Saya dan Lisa ada keserasian.
Sejak mula kenal sehingga menjalin hubungan istimewa, kasih sayang
kepadanya semakin subur. Saya berdoa agar rumah tangga kami bahagia
sehingga ke akhir hayat,” ujar anak kedua daripada empat orang
adik-beradik ini. Sebagai suami, kata Yusry dia berusaha memberikan yang
terbaik buat Lisa. Selain kasih sayang yang tidak berbelah lagi, dia
mahu memastikan permaisurinya hidup selesa di kediaman baru mereka.
“Sebenarnya
saya sudah lama merancang membina kediaman yang selesa untuk keluarga
saya, syukur impian saya akhirnya menjadi kenyataan. Ketika bercinta
dengan Lisa, rumah ini dalam proses pembinaan. Saya ada bertanya tentang
rumah idamannya tapi Lisa hanya mendiamkan diri. Mungkin dia segan
maklumlah ketika itu kami masih belum berkahwin.
“Saya
teruskan perancangan membina rumah mengikut cita rasa saya. Rumah ini
mempunyai nilai sentimental buat saya kerana ia adalah rekaan saya
sendiri khas buat insan yang dicintai. Saya gembira Lisa suka dengan
rekaan dan dekorasi kediaman kami yang berkonsep kontemporari. Cita rasa
kami sama lantaran mudah untuk kami menata rias kediaman ini.
“Saya
mahu meniti hari bahagia bersama Lisa dan membina keluarga di kediaman
ini. Semoga ia menjadi kediaman yang selesa dan sempurna untuk kami,”
jelas pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa ini lagi.