KUALA LUMPUR: Tindakan aktres Neelofa
melebarkan sayap ke bidang nyanyian bukan kerana dia bersikap tamak dan
gelojoh untuk mencuba pelbagai bidang dalam tempoh yang singkat. Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa
Mohd Noor, 23, berkata, sebagai pendatang baru yang masih mengenal
pasti kekuatannya dalam bidang seni, dia menganggap tawaran daripada
Tune Music itu peluang baik untuk mengembangkan kerjayanya.
“Dalam usaha saya meningkatkan kemahiran dalam lakonan dan
pengacaraan, muncul pula tawaran nyanyian daripada Tune Music yang rugi
jika dilepaskan. “Perancangan untuk bergelar penyanyi bukan atas dasar tamak tetapi
adalah peluang untuk meluaskan jaringan hubungan dan mencari di mana
kekuatan sebenar saya dalam bidang seni,” katanya.
Selain Neelofa, label muzik di bawah syarikat penerbangan AirAsia itu difahamkan turut membariskan Maya Karin dan Aizat Amdan. Neelofa berkata, dia mengambil masa yang lama untuk mempertimbangkan
tawaran itu dan bersetuju untuk memeterai perjanjian selepas melihat
ruang dan potensi yang menantinya kelak.
“Orang di luar perlu faham saya menerima peluang ini bukan kerana
soal nyanyian semata-mata. Tune Music adalah syarikat di bawah AirAsia yang memiliki jaringan perniagaan yang luas di rantau Asia. “Saya melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk mengembangkan nama
dan profil di rantau ini,” katanya yang masih belum dimaklumkan mengenai
butiran konsep muzik yang bakal dipertaruhkan nanti.
Mengenai Lebaran tahun ini, pengacara Nona ini berkata, dia pulang
berhari raya di Pasir Mas, Kelantan selama 10 hari sejak 17 Ogos lalu.
“Mulai hari ini (Isnin) saya akan menyambung semula penggambaran bagi menghabiskan baki drama bersiri Kau Yang Terindah arahan Erma Fatima yang kini disiarkan di TV3.
Biodata Ringkas Neelofa Mohd Nor
Nama Penuh: Noor Neelofa Binti Mohd Noor
Asal: Pasir Mas, Kelantan
Tarikh Lahir: 10 Feb 1989
Tinggi: 158cm
Berat: 47kg
Pendidikan: Bachelor Of Business in International Trade & Marketing
Anak ke Berapa: Ke-3 dari 9 adik beradik
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda, Perdagangan Antarabangsa &
Pemasaran, Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor, 5A
(UPSR), 8A (PMR), 10A (SPM)
Pencapaian: Juara Dewi Remaja 2010
Komersial TV: Nokia, Silky Girl, Fair & Lovely dan F&N Fruit Tree
Klip Video: Kau Bukan Aku nyanyian kumpulan Tilu
Filem: Azura (versi baru) terbitan Ace Motion Pictures Sdn Bhd,
arahan Aziz M Osman, Lemak Kampung Santan, Pak Pong, Saya Amat
Mencintaimu (SAM)
Drama: Kasih Najihah, Tahajud Cinta dan Kitab Cinta kesemuanya arahan Erma Fatima, Lara & Jiwa.
Pengacaraan: Paparazzi, Sekolahku Hebat, Nona
Artis Naungan: KRU Studios