KOTA BHARU: Eksperimen tak menjadi. Itulah nasib dua sahabat yang
cuba meletupkan 20 biji mercun bola dalam bekas plastik di Pusat
Transformasi Luar Bandar (RTC), dekat Tunjong, di sini, semalam. Akibatnya kedua-dua mangsa itu bukan sahaja bertempiaran
menyelamatkan diri, sebaliknya menahan kesakitan dengan seorang hancur
pergelangan tangan kanan dan rakannya melecur beberapa bahagian badan
dan mata kabur.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa Mohd Shahril Afendi, 20, dan
Mohd Ahmad Ismail, 19, yang juga pekerja kedai buah di kawasan
berkenaan baru habis bekerja dan mengisi masa terluang dengan bermain
mercun.
Mereka kemudian ke kawasan lapang di belakang kedai dan
mengumpulkan 20 biji mercun bola dalam sebuah bekas plastik sebelum Mohd
Shahril cuba mencucuh sumbunya, tetapi tidak menyala dan sekali lagi
mencuba sebelum mercun itu meletup.
Pergelangan tangan kanan Mohd Shahril hancur dengan satu jarinya
terpelanting di atas tanah manakala Mohd Ahmad melecur di beberapa
bahagian badan serta matanya kabur selepas terkena percikan api mercun.