BEIJING: Tanah jerlus menyebabkan sebahagian daripada sebatang jalan
sibuk di tengah bandar Harbin, Heilongjiang, berlubang dan ‘menelan’
beberapa orang, menyebabkan dua daripadanya maut, semalam.
ANGGOTA penyelamat menggunakan tali untuk masuk ke lubang sedalam 10 meter.
SEORANG daripada mangsa kemalangan dibawa keluar untuk dikejarkan ke hospital.
Tiga mangsa lain, termasuk seorang bayi perempuan, cedera apabila
lubang selebar enam meter terbentuk di Jalan Liaoyang di daerah Nangang.
Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa selepas mereka menggunakan terowong pembetung untuk memasuki lubang berkenaan. Jurucakap pasukan penyelamat berkata, dua mangsa yang terbunuh itu mengalami kecederaan parah akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Bagaimanapun, penyelamat terkejut apabila mendapati, bayi terbabit hanya mengalami cedera ringan di kepalanya.
Dua lagi mangsa yang cedera masih dirawat di hospital tempatan.
Menurut jurucakap penyelamat, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan).
“Akibat tanah jerlus itu, satu lubang sedalam 10 meter terbentuk di
tengah laluan sibuk berkenaan,” katanya. Pihak berkuasa terpaksa
menutup jalan berkenaan untuk sementara bagi membolehkan penyelamat
mengeluarkan mangsa kemalangan.
Penilaian juga dijalankan terhadap kemungkinan ada bahaya susulan daripada insiden itu. Polis berkata, punca kejadian masih disiasat