KUALA LUMPUR: “Mama tolong kak ngah. Kak ngah sakit. Kak ngah kena bakar,” rintih seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ketika menghubungi ibu angkatnya selepas dipercayai dibakar teman lelakinya di kawasan semak berdekatan Seksyen 1, Wangsa Maju, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, mangsa yang keluar bersama teman lelakinya berusia 19 tahun itu disimbah petrol sebelum dibakar menyebabkan terbakar lebih 25 peratus dari muka hingga ke pusatnya dan dilaporkan kritikal.
Bapa mangsa, Mat Zaki Mat Hussin, 45, berkata, anaknya, Nurul Firzanah yang masih bersekolah dalam tingkatan empat itu pergi ke rumah ibu angkatnya dan selepas tiba di sana, dengan kebenaran ibu angkatnya itu dia keluar untuk berjumpa teman lelakinya dipercayai untuk bersahur.
Menurut Mat Zaki, mereka yang sudah mengenali teman lelaki mangsa dan keluarganya tidak berasa syak untuk membenarkan mereka keluar bersama.
Bagaimanapun, katanya, jam 3 pagi, dia menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali memberitahu Nurul Firzanah dibakar berdekatan Flat Wangsa Sari di kawasan terbabit. Pada mulanya, kami sangka ia dipanggilan palsu namun selepas ibu angkat Nurul Firzanah menyatakan dia menerima panggilan sama menyatakan mangsa dibakar lelaki terbabit, kami bergegas ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). "Kami mendapat tahu daripada Nurul Firzanah, dia disimbah petrol sebelum dibakar di kawasan semak berdekatan kawasan berkenaan. Dia cuba memadamkan api dengan lumpur, tetapi selepas gagal untuk padamkan api itu, dia berlari keluar ke kawasan perumahan berdekatan untuk meminta tolong, "katanya.
Beliau berkata, ketika mendapat bantuan orang ramai, Nurul Firzanah yang hanya memakai seluar jeans dan pakaian dalam dihantar ke HKL dan doktor mengesahakan anaknya kritikal dan terpaksa diberikan bantuan dengan alat pernafasan. Dia dibakar lebih 25 peratus di muka,dada dan tangan dan berada dalam keadaan koma. Saya sudah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan menyerahkan gambar lelaki tersebut.