KOTA BHARU: Seorang pembantu klinik hampir putus pergelangan tangan kiri selepas ditetak menggunakan parang ketika diragut dua lelaki di Jalan Che Su, di sini, semalam. Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Rohairani Abdullah @ Ibrahim, 36, pengsan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, akibat kecederaan parah yang dialami.
Dia sebelum itu dikatakan baru keluar dari kereta yang diparkir berhampiran tempat kejadian dan berjalan bersendirian ke kedai untuk membeli kain tudung.
Menurut saksi, Hidayah Daud, 21, dia mendengar suara wanita menjerit meminta tolong sebelum ternampak mangsa bergelut dengan seorang daripada peragut.
Katanya, mangsa cuba melawan sebelum suspek melibas parang dan menetak pergelangan tangannya namun gagal melarikan beg tangan mangsa.
“Saya lihat wanita itu ditetak berkali-kali namun mangsa masih tidak melepaskan beg tangan. Disebabkan itu, peragut bertindak melibas parang dan menetak tangannya.
“Bagaimanapun, peragut itu melarikan diri dengan membonceng motosikal rakannya yang menunggu tidak jauh dari tempat kejadian sebelum orang ramai memberikan bantuan,” katanya.
Difahamkan, ibu kepada dua anak itu kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di HRPZ II. Adik mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menerima panggilan daripada pihak hospital kira-kira jam 2.30 petang sebelum bergegas ke HRPZ II bersama ibu saudaranya dan untuk melihat keadaan kakaknya itu.
Katanya, dia terkejut melihat tangan kakaknya yang terbelah dan hampir putus akibat ditetak peragut terbabit.
“Saya terima panggilan daripada pihak hospital namun tidak menyangka kecederaannya begitu teruk malah saya terkejut apabila melihat tangannya yang hampir putus,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Katanya, setakat ini polis masih belum mendapat maklumat tepat berhubung suspek dan akan menjalankan siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan kami minta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan polis,” katanya.