KUANTAN: “Menggeletar badan saya apabila melihat bayi lelaki itu menangis atas jalan dengan kepalanya berlumuran darah selepas tercampak keluar daripada kereta,” kata Bakhtiar Md Dom, 33, saksi kemalangan maut di Kilometer 205.3, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Gambang, di sini, kelmarin.
MAUT...bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam kenderaan. Gambar kecil, Ahmad Hakimi.
Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Ahmad Hakimi Ahmad Rabudzi, 31, dari Batu Kurau, Pekan, dekat sini, yang memandu Mitsubishi Lancer dan isteri, Siti Rohani Abd Ahalim, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat patah leher dan cedera di kepala.
Bagaimanapun, anak lelaki mereka, Ahmad Uzair berusia enam bulan yang tercampak keluar daripada kereta terselamat walaupun cedera parah di kepala. Bayi itu dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Katanya, ketika kejadian, dia yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kuantan mendapati keadaan di laluan itu kelam-kabut sebelum tergamam apabila melihat kereta mangsa ‘terbang’ ke laluan bertentangan.
“Saya berhenti di tepi jalan untuk membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa, namun gagal kerana mereka tersepit. Kemudian saya terdengar tangisan bayi tidak jauh dari kenderaan itu.
“Sebaik berpaling ke arah jalan, saya lihat bayi terlentang di atas jalan sambil menangis dalam keadaan kepalanya berlumuran darah,” katanya.
Menurutnya, dia mahu mengalih bayi ke tepi jalan tetapi membatalkan hasrat itu selepas mendapatinya mengalami kecederaan parah di kepala.
“Saya kemudian meminta bantuan orang awam untuk mengangkat bayi itu ke HTAA,” katanya.
Sementara itu, rakan sekerja Siti Rohani dikenali sebagai Yati, 30, berkata, mereka berkonvoi selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan setugas di Kerteh, Terengganu, tetapi rakan bersama suaminya bertolak pulang lebih awal.
“Arwah dan suaminya sempat belanja saya makan ikan bakar dan mereka ceria langsung tidak nampak perubahan pelik,” katanya. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, kemalangan berlaku apabila kereta dipandu Ahmad Hakimi terbabas ke kanan jalan dan melanggar besi penghadang di tengah jalan sebelum terhumban ke laluan bertentangan.
“Ahmad Uzair dipangku ibunya tercampak keluar dan terjatuh atas jalan manakala mayat ibu dan ayahnya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat,” katanya.