PETALING JAYA – Pelakon popular, Rita Rudaini Mokhtar berkeras tidak
mahu diceraikan oleh suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak selepas
mendakwa alasan yang diberikan lelaki itu bahawa mereka tidak lagi
serasi dan tiada persefahaman sebagai tidak masuk akal.
Ketika prosiding di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad, Rita, 36,
yang diwakili peguam Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain memberitahu, dia tetap
ingin mempertahankan rumah tangga yang dibina bersama pemain bola sepak
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berusia 25 tahun itu ekoran tidak
berpuas hati dengan alasan yang diberikan suaminya.
Dakwa Zaidi, anak guamnya membantah perceraian tersebut kerana mahukan perbincangan secara baik diadakan terlebih dahulu.
“Mohd. Aidil tidak pernah berbincang secara bersemuka atau secara maya
dengan anak guam saya sejak meninggalkan rumah pada 10 Januari lalu.
“Jika perceraian dipersetujui secara drastik, ia tidak adil bagi pihak
anak guam saya kerana dia mengharapkan perkahwinan ini dapat diteruskan,
kalau hendak bercerai pun, biarlah alasan itu berbaloi,” katanya.