Senario filem tempatan sekarang yang dilihat banyak terarah pada genre komedi dan seram mendorong Work Move Production Sdn Bhd menerbitkan filem pertamanya “Man Sewel Datang KL”
Shuib Sepah Dalam Man Sewel
Shuib Sepah Dalam Man Sewel
Filem akan ditayangkan di pawagam pada 31 Mei 2012 ini, filem ini diarahkan oleh Abd. Rahman Adam dengan membariskan pelakon utamanya Shuib Sepah sebagai Man Sewel dan beberapa lagi pelakon lain seperti Siti Sarah Raisudin, Julia Ziegler, Razali Hussain, Rosnah Mat Aris, Zaibo, Rosli Rahman Adam, Fida Ibrahim dan Chef yang Jamil.
Menurut Saudara Abd. Rahman Adam, filem ini bukan sekadar menghidangkan lawak semata-mata kepada penonton tapi juga pengajaran berguna yang boleh dijadikan teladan.
Sinopsis dan Trailer MAt Sewel Datang KL
Filem ini mengisahkan Osman/Man (Shuib) pemuda yang berperwatakan gila-gila datang ke Kuala Lumpur berbekalkan wang yang diberikan ibunya Maimon (Rosnah Mat Aris) hasil peninggalan harta arwah bapanya.
Di Kuala Lumpur, Man tinggal bersama rakan sekampungnya, Salim (Razali Hussain). Salim banyak mempengaruhi Man tentang kehidupan di ibu kota. Menerusi Salim juga, Man berkenalan dengan Nadia (Julia Ziegler), seorang bekas model.
Sekian lama berkenalan, Man tenggelam dalam jerat cinta Nadia, segala kemahuan Nadia diturutkan dan dia sanggup berhabis wang ringgit memenuhi kehidupan Nadia yang serba mewah itu. Bagaimanapun Man akhirnya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila Nadia meminta wang sebanyak RM250,000 untuk dijadikan modal perniagaan.
Dalam masa yang sama, Man tidak lagi mendapat bantuan kewangan dari ibunya di kampung menyebabkan beliau terpaksa berdikari untuk meneruskan kehidupan di Kuala Lumpur.
Man yang sebelum ini tidak pernah melakukan apa-apa kerja terpaksa memikirkan cara untuk menampung perbelanjaan kehidupannya di ibu kota. Bermacam-macam pekerjaan dilakukan Man, sehinggakan Man sanggup mengeluarkan modal berniaga ayam namun malangnya dia ditipu.
Man kemudian pulang ke kampung untuk menemui ibunya dan kekasih hatinya Siti Khadijah yang telah lama ditinggalkan. Malangnya Siti Khadijah (Fida Ibrahim) telah menjadi milik oleh kerana Man memungkiri janji cinta mereka dahulu.
Sekembalinya Man ke Kuala Lumpur, Man mengenali seorang gadis, Salbiah (Siti Sarah Raisudin) yang menjadi mangsa ragut. Mereka berdua menjadi sahabat yang saling membantu.
Suatu hari Man terserempak dengan Leman (Rosli Rahman), orang kampungnya yang mengusahakan kedai makan di Kuala Lumpur. Leman menasihati Man agar berwaspada dengan Salim kerana dikhuatiri Salim terbabit dalam kegiatan jenayah.
Man kemudiannya menyedari Salim dan Nadia sememangnya terbabit dalam kegiatan jenayah. Man juga sedar dia sebenarnya terjerat dalam perangkap cinta Nadia angkara Salim. Hasil bantuan Leman dan Pak Din (Zaibo), seorang tukang urut tradisional yang pernah menjadi mangsa Salim, kegiatan jenayah Salim dam Nadia akhirnya berjaya ditumpaskan pihak polis.
Hubungan Man dan Salbiah pula makin erat dan mesra sehingga membuahkan bibit-bibit cinta.Man semakin matang dan tidak lagi bersikap gila-gila. Cintanya kini hanya pada Salbiah.