KUALA TERENGGANU: Mencari kelainan di majlis perkahwinan adalah
perkara yang sentiasa diimpikan setiap pasangan. Ia bagi menjadikan
majlis itu sebagai kenangan terindah buat pasangan raja sehari.
MERIAH... pengantin Che Hasnan dan Ummi Hamizah bersanding dan berarak
mengeliling Kampung Telari, Manir dengan menaiki lori 20 tayar.
Bagi Che Hasnan Che Mat, 25, dan Ummi Hamizah Mohamad, 24, pasangan
itu memilih untuk berarak, bersanding dan tepung tawar di atas lori
treler di Kampung Telari, di sini, semalam.
Pasangan pengantin terbabit memilih bersanding di atas treler sambil dibawa berarak sejauh enam kilometer dari rumah pengantin lelaki di Kampung Telari hingga ke rumah pengantin perempuan di Kampung Kebur Air. Che Hamizan berkata, idea untuk bersanding di atas treler tercetus daripada inspirasi perniagaan bapanya, Che Mat Salleh, 48, yang menjalankan perusahaan treler dan peralatan pengantin sejak tiga tahun lalu.
“Melihat pada perniagaan treler bapa membuatkan saya terfikir untuk menjalankan majlis perkahwinan di atas treler kerana bukan saja dapat memberi kelainan pada majlis perkahwinan saya, malah tidak perlu mengeluarkan kos tinggi untuk menyewa treler.
“Saya gembira dengan persandingan di atas treler dan bersyukur majlis berjalan lancar. Walaupun cuaca panas, kami tidak kisah berarak menaiki treler untuk mengambil isteri di rumah pengantin perempuan,” katanya yang memegang jawatan penolong pengurus perusahaan treler terbabit.
Lebih memeriahkan majlis itu apabila pengantin dan tetamu
dihiburkan dengan persembahan silat, alunan kompang dan muzik
tradisional mengiringi perarakan itu di sepanjang jalan, membuatkan
penduduk kampung tidak lekang memandang pasangan pengantin itu.
Woww menarik