Siapa sangka perkenalan singkat selama dua bulan membuahkan bibit cinta sejati hingga Liyana dan Fathudin sepakat untuk mengakhiri hubungan mereka ke jenjang pelamin pada Januari depan.
“Sebenarnya, kami sudah kenal lama kerana dia jiran yang tinggal berdekatan dengan kediaman keluarga saya di Kemensah.
“Kakak saya juga berkawan dengan kakaknya dan dia digelar ‘Eligible Bachelor’ di kawasan perumahan kami kerana masih bujang. Saya kenal Fathudin kerana dia bekas senior sekolah tinggi saya, tapi dia tidak kenal saya pun kerana saya ‘budak comot’ di sekolah saya apatah lagi pembabitan saya dalam bidang seni.
“Namun, sejak kami berkawan, barulah Fathudin tahu saya artis. Dia kini selalu menonton drama dan filem lakonan saya,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai majlis merisiknya, kata Liyana dengan wajah yang berseri-seri, Fathudin datang ke rumah keluarganya untuk menghantar cincin pada Januari lalu. Manakala, majlis pertunangan mereka akan berlangsung jam 8 malam tanggal 28 Mac ini di kediaman keluarganya di Tropika Kemensah, Hulu Klang.
“Pada mulanya, ibu bapa memang minta saya berfikir panjang sebelum buat keputusan nak berkahwin dengan Fathudin kerana kami baru berkawan dua bulan. Bapa saya juga kenal dengan keluarga Fathudin kerana kami tinggal berjiran.
“Bagaimanapun, selepas ibu bapa saya melihat dia pandai mengambil hati keluarga saya, barulah mereka dapat menerimanya dalam keluarga kami sekali gus merestui hubungan kami. Begitu juga keluarganya.
“Saya juga tidak mahu bertunang lama-lama kerana perkara yang baik seperti mendirikan masjid ini lebih baik dipercepatkan,” katanya.
Liyana ditemui pada sesi ramah mesra bersama pelakon drama bersiri 3 Janji arahan Heykal Hanifah untuk Slot Lestary TV3 di Sri Pentas, baru-baru ini.
Berkongsi persiapan majlis pertunangannya, kata Liyana, semuanya berjalan lancar seperti direncanakan setakat ini.
“Semua urusan majlis pertunangan diuruskan mama dan dua kakak. Saya akan mengenakan baju warna putih rekaan Rizman Ruzaini dan solekan pula oleh Tiar Zainal.
“Konsep majlis pertunangan bertemakan taman Inggeris kerana saya memang sukakan konsep sedemikian. Saya juga turut mengundang pihak media untuk membuat liputan majlis pertunangan kami nanti.
“Manakala, majlis pernikahan dan resepsi kami dijangka berlangsung pada Januari depan. Buat masa ini, kami belum tetapkan tarikh, lokasi dan wang hantaran lagi kerana saya serahkan pada keluarga untuk memutuskannya,” katanya.
Ditanya kriteria yang ada pada Fathudin sehingga membuat hatinya terbuka untuk menerima jejaka itu menjadi suaminya.
“Fathudin seorang yang manis, lucu dan cukup memahami. Pada mulanya, saya sangka jejaka kolar putih sepertinya poyo, tetapi dia pula sebaliknya.
“Saya pun tak sangka akan berkahwin dengan jejaka yang berimej kemas sepertinya kerana sejak dulu saya suka berkawan dengan lelaki yang selekeh dan imej rock.
“Ternyata, semuanya sudah ketentuan Tuhan. Memang perkenalan kami singkat, tetapi saya sudah bersedia untuk berkahwin dan biarlah kami bercinta selepas kahwin,” katanya.
“Ternyata, semuanya sudah ketentuan Tuhan. Memang perkenalan kami singkat, tetapi saya sudah bersedia untuk berkahwin dan biarlah kami bercinta selepas kahwin,” katanya.
Walaupun sibuk dengan urusan syarikat produksinya, Mermaid Studios dan aktiviti seni, Liyana tetap luangkan masa dengan bakal suaminya setiap kali mereka ada kelapangan.
“Kami sudah dua minggu tidak berjumpa kerana Fathudin menguruskan bisnesnya di Sabah. Kami juga saling berhubung dan tetap cari masa untuk ‘berdating’ bagi mengenali hati budi masing-masing. Kami juga harapkan yang terbaik dalam hubungan ini,” katanya.
Liyana sambung belajar di New York Julai ini
WALAUPUN bakal bergelar isteri tidak lama lagi, Liyana tetap tidak melupakan cita-citanya untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Justeru, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-22 dan Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 ini memilih untuk menghadiri kursus jangka pendek selama enam bulan dalam jurusan penulisan skrip dan pengarahan di New York Film & Academy, New York bermula Julai ini.
“Pada mulanya, bapa berat hati untuk membenarkan saya ke New York kerana penerbangan yang jauh dan mengambil masa panjang tetapi selepas mama setuju untuk menemani sepanjang enam bulan di sana, barulah dia memberi kebenaran.
“Saya pun tak berani tinggal sendirian di New York kalau tanpa mama di sisi. Fathudin pun tidak menghalang hasrat saya nak belajar aspek filem itu kerana dia pun tahu dengan minat saya itu dan pada masa sama, dia juga lulusan dari luar negara,” katanya.
Ditanya kenapa dia memilih kota New York, kata Liyana, negara itu mempunyai semua peralatan dan kemudahan yang terbaik untuk pembikinan sesebuah filem.
“Pada mulanya, saya bercadang nak belajar di London kerana ada kawan rapat yang belajar di sana tetapi akhirnya saya pilih New York, sebuah bandar yang ‘hidup’,” katanya.