KOTA BHARU: Pilu hati seorang ibu apabila melihat anak lelaki
sulungnya tersepit di dalam kereta dan sempat mengajarnya mengucap dua
kalimah syahadah sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di simpang
tiga Kampung Chekok, Jalan Panji, dekat sini, semalam.
REMUK... kereta dinaiki mangsa bertembung dengan Toyota Harrier di simpang tiga, Kampung Chekok, Jalan Panji, semalam.
Dalam kejadian jam 5 pagi, Wan Ruzaiaziree Wan Sazuki, 23, yang juga
mekanik meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta Wira dipandu
rakannya dikenali sebagai Manan, 23, hilang kawalan lalu memasuki
laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan jenis Toyota
Harrier.
Rakan mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan.
Pemandu Toyota Harrier hanya cedera ringan.
Ibu mangsa, Wan Jah Wan Hassan, 48, berkata, dia yang tidur di rumahnya di Taman Sri Setia, Padang Tembak, dekat sini, dikejutkan oleh ketukan pintu rakan anaknya yang datang memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan, satu kilometer dari rumahnya.
Katanya, dia bersama suami, Wan Sazuki Wan Yusof, 45, bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anaknya dalam keadaan separuh sedar dan tersepit di bahagian depan kereta yang remuk. “Saya menunggu anggota bomba mengeluarkan anak saya yang tersepit dan selepas dikeluarkan, saya menghampirinya yang kelihatan semakin lemah malah sempat mengajarnya mengucap sebelum dia meninggal dunia.
“Sebelum kejadian, anak saya keluar rumah membaiki kereta jam 1 pagi dan selepas selesai melakukan kerja, dia bersama rakan pergi ke rumah datuknya di Kampung Pantai Cahaya Bulan untuk mengambil alat ganti kenderaan, tetapi ketika dalam perjalanan pulang, dia terbabit kemalangan,” katanya. Menurut Wan Jah, sebelum kejadian, anaknya tidak menunjukkan perubahan dan sentiasa ceria.
Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku kerana ia ketentuan Allah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.