Filem 7 petala cinta, lakonan dan penghayatan watak yang baik menjadi faktor besar ke atas kejayaan sesebuah filem. Peranan yang dimainkan oleh Aeril Zafrel, Fizo Omar dan Diana Amir dilihat mampu menghidupkan watak masing-masing. Manakala Shima Anuar, bakat baru yang mendapat kepercayaan pihak MIG turut memainkan peranan yang besar dalam filem ini. Seiring dengan moto MIG “Bintang Dicipta, Bukan Dilahirkan”, nama-nama baru perlu diberi peluang dan dicungkil bakatnya demi menyediakan generasi pelapis untuk industri perfileman negara.
Selain itu, Epy Raja Lawak dan Zalif Sidek membantu mencipta mood komedi dengan sikap gila-gila mereka. Antara lain yang turut sama menjayakan filem ini seperti Ustaz Dini Juri, Ummi Rosiah, Zul Suphian, Wak Di dan Alex Yanz. Filem yang telah memulakan penggambaran sekitar bulan Jun 2011 ini menelan belanja sebanyak RM 1.5 juta secara keseluruhan. Bagi menampakkan keindahan alam semulajadi ciptaan Ilahi yang mana bersesuaian dengan konsep filem ini, penggambaran dijalankan di kawasan pedalaman Ulu Yam, Selangor.
Filem arahan Azhari Zain ini adalah sangat berbeza dengan filem-filem yang dihasilkan beliau sebelum ini. Azhari Zain yang merupakan salah seorang pengarah di bawah Skim 10 Pengarah Muda MIG, dilihat sangat menyerlah dalam bidang pengarahan. Filem-filem arahan Azhari Zain sentiasa mendapat sambutan di pawagam seperti Santau, Zoo, Mantra, 3 2 1 Cinta, Flat 3A dan Keramat. Kini beliau menonjolkan sisi kreativiti yang berlainan dengan menggarap 7 Petala Cinta pula. Filem yang sarat dengan pengajaran ini diharap dapat memberi pedoman kepada penonton selain terhibur dengan jalan ceritanya.