KLANG: Jemaah Masjid Ar-Rahimiah, di sini, terpaksa menunaikan solat Jumaat di tingkat satu dan tingkat dua masjid berkenaan selepas dewan solat utama dipenuhi air akibat banjir kilat, semalam.
Timbalan Nazir Masjid, Jaafar Samsuddin berkata, dewan solat utama masjid dipenuhi air akibat hujan lebat menyebabkan air longkang dan air dari bukit berhampiran melimpah.
Timbalan Nazir Masjid, Jaafar Samsuddin berkata, dewan solat utama masjid dipenuhi air akibat hujan lebat menyebabkan air longkang dan air dari bukit berhampiran melimpah.
Katanya, kerugian dianggarkan RM800,000 kerana permaidani dewan solat perlu diganti baru selain peralatan audio yang rosak ditenggelami air.
“Selain itu, perpustakaan yang menempatkan buku bacaan dan kitab serta bilik imam dimasuki air.
“Buat sementara waktu, solat dan aktiviti keagamaan diadakan di tingkat satu dan dua masjid sehingga permaidani baru siap dipasang,” katanya ketika ditemui, semalam.
Jaafar berkata, pihaknya sudah membina tembok simen di depan dewan solat bagi menghalang air memasuki dewan solat selepas kejadian sama berlaku beberapa tahun lalu.
Namun, kali ini pengurusan memecahkan tembok simen berkenaan bagi membolehkan air yang bertakung dalam dewan solat dikeluarkan.
Katanya, pengurusan masjid sudah beberapa kali mengutarakan masalah dihadapi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), namun masalah sama masih berulang.
Menurutnya, buat sementara waktu, satu tembok yang lebih tinggi dibina di dewan solat utama bagi mengatasi masalah berkenaan supaya tidak berulang.