JOHOR BAHRU: Rumah yang pernah dihuni tujuh beranak yang kemudiannya mati serentak akibat dibunuh 11 tahun lalu, kini menjadi tumpuan kaki judi yang menjadikan premis di Johor Jaya di sini itu sebagai pusat pemujaan bagi mendapat nombor ekor.
Harian Metro diberitahu, penghuni rumah itu membabitkan sepasang suami isteri dengan lima anak mereka, satu lelaki dan empat perempuan menjadi mangsa pembunuhan kejam dalam satu kejadian 11 tahun lalu.
Selindung...kediaman tujuh sekeluarga mati dibunuh dijadikan tempat tahi judi puja nombor ekor
Ketika tinjauan ke rumah itu selepas mendapat aduan daripada orang ramai, didapati kediaman itu sudah berubah wajah dan kelihatan seperti pusat ibadat dan golongan kaki judi dikatakan banyak berada di situ bagi melakukan pemujaan pada waktu malam.
Pemujaan terhadap roh semua mangsa yang mati akibat ditetak dengan kejam itu dilakukan dengan menyembah gambar mereka mangsa yang masih berada di dalam rumah berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk berkata, tindakan golongan kaki judi itu menjejaskan keselesaan masyarakat yang tinggal berhampiran kediaman berkenaan.
"Saya difahamkan keaadaan itu sudah berlarutan agak lama, bagaimanapun sehingga kini tiada mana-mana persatuan mahu pun badan keagamaan yang mampu menghalangnya," katanya kepada Harian Metro. Seorang kaki judi dikenali sebagai Pang 34, yang ditemui Harian Metro berkata, dia tahu mengenai kegiatan pemujaan di rumah berkenaan bagi mendapatkan nombor ekor selepas diajak seorang rakan.
"Sebaik saja masuk ke dalam rumah itu, saya terkejut mendapati rumah itu kelihatan seperti rumah ibadat," katanya. Ketika ditanya adakah dia pernah menang hasil nombor ekor yang diperoleh hasil pemujaan di rumah itu, Pag hanya tersenyum dan enggan mengulas lanjut.
Sebaliknya lelaki itu seolah-olah berhelah dengan berkata dia sebenarnya kurang selesa untuk terus melakukan pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor di sisi serta bercadang tidak lagi mahu mengunjungi rumah itu.