PASIR GUDANG: Suami yang separuh lumpuh dan dua anak masih kecil ditinggalkannya tanpa penjagaan, namun dia pulang ke rumah sebulan sekali semata-mata mengambil wang bantuan persekolahan anaknya sebanyak RM300 yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Begitu sikap seorang isteri durjana yang menyebabkan suaminya berusia lewat 50-an dan dua anak perempuan berusia sembilan dan 13 tahun hidup melarat serta bergantung kepada keprihatinan jiran untuk makan dan minum setiap hari.
Begitu sikap seorang isteri durjana yang menyebabkan suaminya berusia lewat 50-an dan dua anak perempuan berusia sembilan dan 13 tahun hidup melarat serta bergantung kepada keprihatinan jiran untuk makan dan minum setiap hari.
Pegawai JKM Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim yang mendedahkan sikap isteri berusia 30-an itu berkata, kejadian itu berlarutan lebih setahun lalu, sebelum dikesan pihaknya, baru-baru ini.
Menurutnya, siasatan pihaknya mendapati wanita terbabit membiarkan suaminya yang uzur akibat angin ahmar dan mengalami jangkitan kuman pada kaki kiri kerana diabetes terlantar di pondok usang bersama dua anak mereka.
Selepas menerima maklumat mengenai nasib tiga beranak itu yang tinggal di pondok yang hampir roboh di sebuah kampung di sini, Manayi berkunjung ke situ semalam untuk melihat nasib mereka sambil ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Tan Cher Puk.
"Terbukti suami wanita itu yang lumpuh sebelah kanan badan akibat angin ahmar sejak dua tahun lalu tinggal dalam keadaan serba kekurangan bersama dua anaknya dan menagih simpati jiran untuk meneruskan kehidupan seharian. "Siasatan JKM juga mendapati wang bantuan RM300 yang diberikan JKM untuk belanja persekolahan anak-anak sejak lapan bulan lalu disalahgunakan wanita itu. Dia pulang dua tiga hari dalam sebulan iaitu ketika pegawai JKM datang menyerahkan wang bantuan berkenaan.
"Selepas mengambil wang itu, wanita terbabit meninggalkan rumahnya dan kembali ke tempat dia bekerja di Ulu Tiram dan seorang lagi anak lelakinya yang berusia 2 tahun dibawa bersamanya," katanya. Menurutnya, berikutan keaadaannya yang terlantar sakit dan tidak berdaya, suami berkenaan tidak mampu berbuat apa-apa bagi menghalang perbuatan isterinya yang berasal dari Indonesia itu. Manayi berkata, pihaknya memberi bantuan belanja persekolahan RM300 sebulan kepada keluarga berkenaan sejak September tahun lalu.
"Saya terharu mendengar cerita suami dan anak-anak wanita itu yang memberi tahu mereka tiga beranak ada kalanya mengalas perut dengan air kosong sementara menunggu jiran menghulurkan makanan. "Rumah atau pondok yang dihuni mereka juga amat daif kerana sudah rosak teruk dan berkemungkinan roboh pada bila-bila masa," katanya. Menurutnya, suami wanita itu sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas henti-henti, namun berhenti kerja sejak dua tahun lalu selepas diserang angin ahmar hingga menyebabkan dia lumpuh sebelah badan.
"Pada masa sama, dia menghidap penyakit kencing manis menyebabkan luka di kaki kirinya kini semakin teruk dan bernanah. Hanya dua anaknya yang masih kecil menjaga lelaki itu selain melakukan kerja rumah," katanya yang turut memberi sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian. Manayi berkata, pihaknya berusaha memindahkan lelaki itu dan dua anaknya ke rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) manakala bantuan RM300 sebulan diteruskan, namun akan dipantau penyerahannya supaya ia tidak diambil serta disalahgunakan isteri lelaki itu.