SEBERANG JAYA: “Tiba-tiba saya rasa bangunan bergegar dan lihat semua pengunjung lari selamatkan diri,” kata Nurul Nadiha Kasim, 28, yang turut bergegas menyelamatkan diri ketika berada di Kompleks Sunway Carnival, di sini, selepas berasa gegaran akibat gempa bumi yang melanda Aceh, Indonesia.
Menurutnya, ketika itu dia bersama rakannya sedang memilih barang di sebuah kedai di dalam kompleks membeli-belah itu.
Menurutnya, ketika itu dia bersama rakannya sedang memilih barang di sebuah kedai di dalam kompleks membeli-belah itu.
“Selepas berasa bergoyang, saya segera mencampak barang dan menarik kawan saya keluar dari bangunan berkenaan,” katanya yang pertama kali berdepan pengalaman kejadian seperti itu. Seorang lagi pengunjung, Mohd Hafiz Najmi Soaid, 23, berkata, ketika kejadian dia bersama dua rakannya sedang menonton wayang di kompleks berkenaan.
“Sedang asyik menonton, saya berasa pening dan bangunan seakan bergoyang,” katanya yang berasal dari Baling, Kedah.
Menurutnya, dia dan kawannya tanpa berlengah segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri, begitu juga pengunjung yang lain. "Pihak pengurusan kompleks terbabit juga membunyikan loceng amaran minta pengunjung keluar dari bagunan itu," katanya. Sementara itu, ribuan penghuni Pangsapuri Idaman Jalan Baru, dekat sini, turut mengalami kesan gegaran gempa berlaku di Acheh itu.
Penduduk terpaksa bergegas turun dan berkumpul di kawasan selamat selepas dikejutkan dengan gegaran kuat. Penghuni, Norizan Yahya, 43, berkata dia sedang solat Asar sebelum berasa badannya bergoyang sebelum bergegas keluar dari rumahnya. "Masa itu sudah rakaat keempat, kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku saya terus berhenti solat dan mengajak anak turun dari pangsapuri. "Ini kejadian kedua yang saya sekeluarga alami selepas tsunami pada 2004," kata ibu kepada enam anak itu.
GEORGETOWN; Kesesakan lalu lintas luar biasa berlaku hampir beberapa jam di laluan menuju ke jambatan Pulau Pinang apabila orang ramai berpusu-pusu mengunakan laluan itu selepas berlaku dua gegaran susulan di Acheh, Indonesia petang semalam. Gegaran kuat itu turut menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini terutama penghuni bangunan tinggi merasainya. Antara kawasan yang merasai gegaran itu seperti Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Prangin Mall, Plaza Gurney dan beberapa hotel di persisiran pantai, Batu Feringgi dan lebuh Sungai Pinang. Tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan pernah dilanda tsunami seperti Batu Feringgi, Persiaran Gurney, Tanjong Tokong dan Balik Pulau mendapati orang ramai mula mengosongkan kawasan berkenaan selepas diarahkan pasukan keselamatan.
Dalam kejadian jam 4.45 petang itu, satu gegaran dirasai kira-kira lima minit hingga menyebabkan penghuni bangunan tinggi, pejabat dan pusat membeli belah mengosongkan bangunan unutk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Dua jam selepas itu, gegaran kali kedua mula terasa dan penduduk di Kampung Chew Jeti diarahkan mengosongkan kediaman mereka berikutan dibina dikawasan berhampiran pantai.
Sementara itu, ribuan pekerja di sebuah kilang membuat pakaian di Jalan Pinang, di sini bertempiaran lari selepas mendapat arahan pihak pengurusan supaya megosongkan bangunan berkenaan.
Mereka kemudian dikumpulkan di hadapan kilang dan ada yang dilihat panik kerana merasai gegaran kuat ketika bekerja di kilang empat tingkat itu. Sementara itu, beberapa pengunjung yang sedang membeli-belah di Plaza Gurney turut merasai gegaran. menurut seorang pengunjung dari Jepun, Yoshio Hirano, 50, ketika itu dia berada di sebuah kedai pakaian sebelum berasa pening dan melihat patung serta lampu bergoyang.