KUALA LUMPUR: “Inilah peristiwa paling indah dan bahagia buat saya
kerana kami akhirnya selamat disatukan. Saya amat bersyukur dan
mengharapkan perkahwinan ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat.”
Itu kata Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 36, selepas diijabkabulkan
dengan aktres jelita, Fasha Sandha atau nama sebenarnya, Nur Fasha
Sandha Hassan, di Windows of KL, Hotel Crowne Plaza, di sini, jam 9.40
malam tadi. Rizal atau lebih mesra dengan panggilan Jejai, sah
menjadi suami Fasha selepas dua kali lafaz di hadapan Pendaftar Nikah,
Cerai dan Rujuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sahirman Ahmad.
Fasha yang anggun dalam persalinan berona putih sentuhan pereka
fesyen, Rizman Ruzaini diwalikan ayah kandungnya, Hassan Moideen, 60,
dengan mas kahwin RM8,888.88.
Jejai berkata, kehadiran Fasha kini melengkapkan hidupnya dan
perkahwinan mereka kemuncak kepada persefahaman yang disemai secara
serius sejak tiga tahun lalu.
“Alhamdulillah, segala-galanya sudah selamat dan sekarang kami sah menjadi suami isteri. Saya gembira kerana apa yang kami impikan menjadi kenyataan. Ini berkat adalah doa kami sepanjang bercinta.
“Selama ini pelbagai dugaan dan kontroversi terpaksa kami tempuhi bersama. Macam-macam cerita pernah terpampang di media, namun semuanya tidak pernah menggugat hubungan kami. “Selepas ini kami akan mula menempuh fasa baru bersama-sama dan semoga saya akan dapat membahagiakan Fasha sebagaimana yang diimpikannya,” katanya yang merahsiakan jumlah hantaran buat isterinya.
Jejai juga akui tidak sabar untuk menimang cahaya mata lagi dan
merancang membawa Fasha ke Pulau Redang sebagai destinasi bulan madu
kerana baginya lokasi di Malaysia sudah cukup indah. Sementara itu, Fasha berharap perkahwinannya dengan Jejai yang pertama
dan terakhir kerana baginya suaminya itu memenuhi segala ciri lelaki
idamannya.
“Dia seorang yang penyayang, matang dan menerima saya seadanya.
Itulah yang membuatkan saya benar-benar jatuh cinta dengan Rizal dan
menerima lamarannya,” kata Fasha. Majlis pernikahan yang berkonsepkan
warna putih dan ungu ini hanya dihadiri kira-kira 300 tetamu, semuanya
keluarga terdekat dan teman rapat saja. Pengantin lelaki menyerahkan
hantaran, antaranya tepak sirih, beg tangan, sebentuk cincin, jubah dan
tudung dari Makkah serta senaskah al-Quran dan sebentuk cincin Habib
Jewels. Antara balasan hantaran daripada Fasha pula ialah sirih
junjung, sehelai sejadah, buku Terima Kasih Tuhan Atas Cinta Ini dan
sebentuk cincin.